"Sepatutnya ada hukuman, ini sedikit pun tiada langsung (hukuman), terus bebas. Sesiapa juga akan marah.
"Kalau ikutkan hati, memang kami tidak puas hati tetapi undang-undang sudah menentukan perkara itu.
"Ini keputusannya dan kami terpaksa terima walaupun berat hati. Anak kami yang sudah tiada pun tidak dapat dikembalikan semula," demikian kata bapa kepada salah seorang remaja bermain basikal lajak maut dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru pada 28 Februari 2017.
Zulkefli Sarkam, 45, bapa kepada Allahyarham Mohamed Azree Danish, berkata, kemalangan itu bukan hanya melihatkan satu nyawa, tetapi lapan nyawa hilang sekali gus.
Namun, Zulkefli dan sekeluarga menerima keputusan itu dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjalankan siasatan yang berlangsung selama dua tahun itu.
Dalam pada itu, mereka sekeluarga berasa kesal apabila kesemua keluarga kepada lapan mangsa itu tidak dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu.
Zukelfi dan isterinya hanya mengetahui keputusan mahkamah itu selepas membaca berita mengenainya di Facebook.
"Kami terkilan kerana tidak dimaklumkan dan hanya mengetahui keputusan sudah dijatuhkan mahkamah melalui Facebook kira-kira jam 11 pagi.
"Kami benar-benar terkejut dan kecewa dengan perkara itu. Setidak-tidaknya ada waris akan dapat ke sana (mahkamah). Kami tidak dimaklumkan mengenai tarikh keputusan," katanya.
Zukefli berkata, dia ada menghubungi peguam untuk mengetahui perkembangan kes tetapi dimaklumkan belum ada keputusan.
Walaupun sudah dua tahun kejadian itu berlaku, kelibat dan ketawa arwah masih lagi di ingatan Zukefli dan keluarganya.
Zukefli berharap orang ramai mendoakan arwah anaknya supaya tenang di sana.
"Sebagai ahli keluarga yang melihat anak membesar dalam keadaan sihat, agak sukar menerima ahli keluarga meninggal dunia dalam sekelip mata.
"Ibaratnya, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul dan begitu juga keadaan kami sepanjang kehilangan anak kedua dalam lima beradik ini.
"Dia pergi dengan mengejut dan bukan sakit, dia sihat tetapi tiba-tiba terus tidak ada," katanya.
Sementara itu, keluarga mangsa yang lain juga tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan sedang mempertimbangkan untuk menuntut keadilan bagi 'lapan anak syurga' itu melalui WhatsApp sama ada mahu melawan atau akur dengan keputusan mahkamah.
Sumber: Harian Metro via The Reporter
from Sehinggit Media News https://ift.tt/2NpmIR4
via IFTTT
No comments:
Post a Comment