Pemuda PAS memberi amaran kepada kerajaan bahawa mereka akan menggerakan bantahan di seluruh negara sekiranya kerajaan masih membenarkan konsert melalaikan rakyat diadakan.
Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, antara sebab mengapa siri konsert itu tidak wajar dibenarkan adalah kerana masa yang tidak sesuai, selain tidak membawa sebarang faedah dan bertentangan dengan agama Islam sebagai agama persekutuan.
"Masa yang tidak sesuai, nilai yang dibawa tidak bersesuaian dan bertentangan dengan Islam sebagai agama persekutuan.
"Pihak kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika ia tidak diendahkan," katanya memetik laporan dari MalaysiaKini, Khamis, 25 Ogos 2022.
Ahmad Fadhli turut menggesa NGO dan individu yang prihatin terhadap isu tersebut, bangkit bersama untuk menentang isu tersebut.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli pernah mengeluarkan kenyataan menentang penganjuran konsert sedemikian, 12 jam selepas konsert penyanyi Bellie Eilish, berlangsung di Kuala Lumpur.
Menurut maklumat yang tular di media sosial, beberapa lagi konsert yang dijadualkan berlangsung di Malaysia akan diadakan membabitkan kumpulan Dewa 19, Black Pink dan Justin Bieber.
Ahmad Fadhli yakin wakil PAS dalam kabinet akan memainkan peranan bagi memastikan konsert daripada artis antarabangsa dibatalkan.
Walau bagaimanapun, dia sedar akan ada pihak atau individu yang tidak akan bersetuju dengan bantahannya itu dan hanya mampu mendoakan golongan tersebut mendapat hidayah.
Sumber: MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/KJwCaQI
via IFTTT
No comments:
Post a Comment