Kejadian ini berlaku lebih kurang pada jam lima petang, Jumaat 2 Februari, ketika saya bersendirian di pusat beli-belah Sunway Pyramid.
Saya berada di premis pertukaran mata wang di Sunway Pyramid, LG2, untuk buat persiapan ke luar negara tidak lama lagi. Selepas selesai urusan di situ, saya meletakkan wang tunai di dalam beg galas. Kemudian saya buat keputusan untuk berjalan-jalan dan mungkin mahu melakukan beberapa perkara yang lain di pusat beli-belah itu.
Semasa berjalan, tiba-tiba terasa ada cecair yang terkena pada belakang baju sebelah kanan. Cecair berwarna putih itu telah mengotorkan baju, seluar dan beg galas, malah ada sebahagiannya terkena pada tangan membuatkan saya rasa jijik.
Saya terus segera berpaling ke belakang dan mendapati ada sekumpulan gadis yang memandang saya seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku. Jarak mereka yang agak jauh juga tidak mungkin mereka yang melakukan perbuatan itu tanpa saya sedari.
Saya segera pergi ke tandas berhampiran GNC, di sebelah premis Yubiso untuk membersihkan kotoran yang meletak pada pakaian dan beg saya itu.
Ketika berada di tandas, saya membasuh tangan. Sementara itu beg galas tadi diletak di lantai berhampiran sinki (di sinilah kesilapan saya) dan pergi mengambil tisu. Baru beberapa langkah, tiba-tiba datang seorang lelaki warga asing yang menawarkan dirinya untuk membantu saya. Saya menolak dengan baik dan terus pergi mendapatkan tisu.
Tetapi lelaki itu bertegas mahu membantu dan terus memotong jalan saya untuk mendapatkan tisu (inilah taktik mereka untuk mengalihkan perhatian saya agar di kesempatan itu rakannya dapat mencuri beg galas saya).
Tidak lama selepas itu, saya ternampak dua orang lelaki bergegas keluar dari tandas. Apabila saya pandang ke tempat beg galas saya diletakkan di tempat tadi sudah tiada! Saya yakin mereka telah mengambil beg saya kerana saya nampak mereka memeluk kemas beg tersebut ketika keluar dari tandas.
Saya segera keluar mengejar mereka tetapi malangnya mereka sudah tidak dapat dikesan. Kemudian saya kembali ke dalam tandas untuk mencari lelaki warga asing yang beria-ria membantu saya tadi, malangnya lelaki itu juga sudah lesap.
Saya terus melaporkan kejadian itu kepada pihak keselamatan Sunway Pyramid dan membuat laporan polis. Mereka sangat membantu dan cuba meneliti semula video rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Malangnya tiada CCTV berhampiran kawasan kejadian itu. CCTV yang paling hampir adalah di premis pertukaran mata wang dan ianya terlalu jauh untuk merakam kejadian itu.
Secara jujurnya saya tidak menyangka kejadian seperti ini boleh berlaku pada saya. Cecair yang dituang pada pakaian saya rupanya adalah losyen atau krim tangan.
Saya menjadi mangsa rompakan di siang hari di pusat beli-belah. Saya kongsikan kejadian itu sebagai peringatan untuk semua agar kita lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling. Kejadian ini juga boleh berlaku kepada sesiapa dan bila-bila masa terutamanya ketika berada di kawasan tumpuan orang ramai.
Sumber: Daniel Muk
from The Reporter http://ift.tt/2DYPGoO
via IFTTT
No comments:
Post a Comment