Salam sejahtera admin. Di sini saya nak ceritakan tentang peristiwa yang menimpa saya. Kejadian ni berlaku kira-kira dua bulan lalu. Begini ceritanya.
Ayah kami pada masa itu terlantar di hospital, sebab nak menjalankan operation batu di hampedu. Jadi, automatik mak akan tinggal di hospital untuk menjaga ayah. Yang tinggal di rumah hanya kami tiga orang adik beradik iaitu abang, kakak dan saya.
Abang dan kakak saya sibuk berkerja, jadi tinggal saya seorang sahaja yang belum mempunyai pekerjaan. Secara tidak langsung, saya yang akan menjaga makan minum ibu dan ayah pada masa itu dan menggalas tanggungjawab mengemas rumah.
Jam dua petang, saya berada di hospital menjaga ayah bersama ibu kerana bosan duduk di rumah seorang diri. Hahaha! Selalunya saya akan balik ke rumah pada jam 7 malam sebab tak berani nak balik lewat seorang diri.
Malam itu saya turun pergi ke parking lot seperti biasa. Sekitar jam 7 petang, selalunya ramai saja orang yang datang melawat dan sememangnya itu waktu untuk waris melawat pesakit. Pada waktu inilah saya menerima gangguan yang tidak dijangkakan.
Masa saya masuk ke dalam lif, terasa seperti ada orang yang mengikuti dari belakang. Tetapi bila pusing ke belakang, tiada orang. Saya anggap mungkin angin sahaja. Selalunya kalau nak naik atau turun menggunakan lif, ia hanya mengambil beberapa minit saja, tak sampai pun lima minit. Namun pada malam itu, agak lama sikit saya berada dalam lif, mungkin lif belum diselenggara kot?
Jadi, saya pun main telefon seperti biasa. Tiba-tiba! Ada orang pegang bahu saya, seperti nak menegur. Saya pusing untuk menoleh, tetapi tiada orang! Terasa sejuk dan panas kaki saya masa itu. Yelah! Siapa yang tak takut kalau berada dalam situasi seperti itu? Tambahan pula saya ini jenis penakut.
Saya baca segala macam ayat. Tidak lama selepas itu, pintu lif terbuka dan berharap sangat ada orang di depan. Alhamdulillah, ada dua tiga orang sedang menunggu di depan pintu lif. Lega rasanya! Hahaha!
Jadi, kalau nak keluar hospital menuju ke parking lot, mesti lalu di depan meja pengawal keselamatan dan saya rasa okeylah sebab ada orang lalu di kawasan yang sama. Sampai di kereta, saya nampak seorang perempuan ini membawa naaknya yang berusia lingkungan lima atau enam tahun. Mereka duduk saja seperti sedang menunggu dijemput.
Saya hidupkan enjin kereta seperti biasa. Tiba-tiba anak mata saya ternampak sesuatu di depan kereta. Ternyata dua anak beranak tadi! Ah! Sejuk panas lagi tubuh badan saya, terus saya undurkan kenderaan dan jalan.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya menerima mesej dari abang dan katanya dia balik lewat sikit sebab nak menyiapkan kerja. Saya okey saja walaupun sebenarnya saya dah ketakutan pada waktu itu. Bila sampai di rumah, saya terserempak dengan kakak. Dia nak pergi melawat ayah sekejap lagi, kemudian pergi makan malam bersama dengan rakannya. Seperti biasa, saya kata "Okey,".
Dah park kereta, saya terus naik buka pintu, baca bismillah dan beri salam. Malam itu sunyi sangat. Saya tonton tv di ruang tamu agar tak rasa sunyi. Channel Astro yang ditonton masa itu, 431. Kemudian saya pergi mandi, selesai mandi saya masak maggi sebab lapar.
Baru saja dua langkah masuk ke dapur, tiba-tiba channel di tv ditukar ke nombor 615 secara tiba-tiba. Ah! Masa itu saya dah tahu yang memang 'benda' itu mahu mengusik saya. Ayah ada ajar kalau benda itu suka kacau kita, kita kena beranikan diri dan cakap bagus-bagus pada mereka.
"Boleh tak jangan ganggu aku? Aku lapar, nak masak maggie je. Kalau nak usik orang, pergi ke tempat lain," saya kata dengan lembut, bimbang 'benda' itu marah pula kalau bercakap secara kasar.
Sepanjang masa saya masak maggie, tiada sebarang gangguan, mungkin sebab saya dah beritahu jangan kacau saya tadi agaknya. Selesai makan, saya basuh pinggan dan sekali lagi... ternampak kelibat budak-budak berlari di depan pintu dapur mengejar bola kecil berwarna merah.
Ya Allah, perasaan saya masa itu nak pengsan! Saya terus menghubungi kakak dan minta dia pulang segera dan tak perlu pergi makan malam bersama kawannya. Dia kata okey tetapi saya belum beritahu apa-apa mengenai kejadian yang berlaku tadi, sekadar beritahu ada kecemasan.
15 minit kemudian, kakak sampai di rumah. Tetapi yang sya pelik, dia tukar baju. Saya macam, "Eh? Memang dia sempat tukar baju kot dalam kereta?". Dan kakak diam habis malam itu. Saya pun hairan. Tiba-tiba kakak tanya, "Mana budak kecil yang berlari-lari tadi?"
Ya Allah, saya dah macam, kenapalah benda ini tak habis-habis nak mengganggu saya? Saya tahu dia bukan kakak saya sebab saya belum beritahu dia tentang budak itu atau saya diganggu benda itu. Saya terus berlari masuk ke bilik dan kunci pintu dan cuba menghubungi kakak.
Kakak jawab panggilan dan kata dia dalam perjalanan balik. Masa itu kakak ada bersama dengan teman lelaki dia. Dia menyangka ada penceroboh masuk dalam rumah ke apa. Bila kakak sampai, teman lelaki dia dapat rasakan ada sesuatu di kawasan rumah kami. Masa dia buka pintu rumah, dia baca sesuatu sebab kakak kata ada 'angin' keluar sebaik saja pintu dibuka.
Teman lelaki dia ada baca sesuatu sebab orangnya boleh tahan juga kalau berdepan dengan perkara seperti ini. Mungkin dia guru agama agaknya. Kata kakak, mereka nampak benda hitam di depan pintu bilik saya. Selepas teman lelaki dia baca ayat-ayat itu, benda itu hilang.
Dengar saja mereka ketuk pintu, saya terus buka. Muka saya memang pucat sangat. Selepas teman lelaki kakak baca-baca air putih untuk saya minum, barulah saya rasa ringan dan segar. Rupa-rupanya ada benda yang suka pada saya dan budak kecil dengan maknya sekali menumpang saya pulang ke rumah.
Selepas kejadian itu, ibu bawa saya pergi berubat dengan seorang nenek ini yang kata saya lemah semangat menyebabkan benda itu suka mengusik saya. Nenek itu pesan, rajin dan ringankan mulut membaca ayat kursi sebelum keluar rumah untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Alhamdulillah sampai sekarang saya tiada mengalami gangguan lagi. Itulah pengalaman saya yang agak ekstrem yang pernah berlaku pada saya.
Terima kasih admin kerana sudi membaca. Maaflah kalau bahasa saya teruk sebab saya orang Brunei. Sorry kalau cerita ini tak seram. Hahaha!
Anda pernah mengalami pengalaman/peristiwa seram? Hantarkan kisah seram anda kepada kami di thereportermyofficial@gmail.com
from The Reporter https://ift.tt/2GHK0zW
via IFTTT
No comments:
Post a Comment