Purata pendapatan bulanan di Kuala Lumpur sebanyak RM2,700 (bujang dewasa) dan RM6,500 (pasangan dengan dua anak) adalah jumlah minimum diperlukan bagi standard kehidupan yang boleh diterima, lapor Harian Metro.
Dalam Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, 'gaji untuk hidup' adalah pendapatan minimum yang diperlukan oleh sesebuah isi rumah untuk turut serta dalam masyarakat, peluang pembangunan peribadi dan keluarga selain bebas daripada tekanan kewangan yang teruk.
"Antara 2014 dan 2016, pendapatan bulanan isi rumah 40 peratus terbawah (B40) meningkat enam peratus daripada RM2,537 kepada RM2,848. Bagaimanapun, dengan kenaikan kos hidup, pertumbuhan pendapatan sebenar hanyalah 3.8 peratus.
"Bagi sesetengah isi rumah terdiri daripada lebih dua dewasa dan dua anak, peningkatan kecil ini meliputi kenaikan harga asas, namun masih tidak mencapai minimum standard kehidupan” katanya.
BNM berkata, kira-kira 27 peratus isi rumah di Kuala Lumpur kini hidup di bawah paras ‘gaji untuk hidup’ dan kebanyakannya terdiri daripada lepasan sekolah menengah dengan pekerjaan berkemahiran rendah ke sederhana.
Masyarakat moden mengiktiraf bahawa standard kehidupan minimum adalah lebih daripada sekadar mampu membeli barang keperluan, malah termasuk juga penyertaan sosial dan jaminan kewangan.
“Standard kehidupan minimum adalah, purata isi rumah di Kuala Lumpur sepatutnya mampu melawat keluarga dan rakan pada musim perayaan, selain membeli hadiah hari jadi untuk ahli keluarga,” katanya.
BNM turut mencadangkan kriteria ‘gaji untuk hidup’ bagi purata isi rumah yang tinggal di Lembah Klang bagi memberikan panduan kepada pembuat dasar serta majikan mengenai paras minimum standard kehidupan yang boleh diterima.
“Gaji untuk hidup adalah lebih tinggi daripada gaji minimum berkanun kerana ia secara dasarnya berasaskan kos kehidupan,” katanya.
Di Kuala Lumpur, BNM menganggarkan seorang dewasa bujang perlu memperoleh RM2,700 sebulan untuk menyewa bilik, makan di luar, memasak sekali sekala dan menggunakan pengangkutan awam.
Bagi pasangan dengan dua anak, bank pusat menegaskan, pendapatan minimum bulanan dibawa pulang ke rumah RM6,500 diperlukan untuk menyewa pangsapuri tiga bilik, memiliki dua kereta, membayar pusat jagaan kanak-kanak dan kelas tusyen, serta makan di luar pada hujung minggu.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/2GkfCww
via IFTTT
No comments:
Post a Comment