loading...
  • Breaking News

    Sunday, October 20, 2019

    "Tubuh Kerajaan Tanpa DAP, Amanah, Itu Perbuatan Tidak Bermaruah!"- Khalid Samad


    KUALA LUMPUR: Komplot untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bakal menemui kegagalan, demikian tegas Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan itu, usaha menubuhkan kerajaan gabungan baharu melalui pintu belakang adalah perbuatan yang tidak bermaruah.

    Justeru, kata Khalid, Amanah yakin komponen parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengkhianati perjanjian yang telah dipersetujui.

    “Usaha komplot ini sekiranya benar adalah satu usaha untuk membentuk kerajaan melalui pintu belakang dan tidak bermaruah.

    “Walaupun dikatakan (penganjuran) Kongres Maruah Melayu, tetapi usaha (komplot tersebut) adalah sesuatu yang tidak bermaruah," kata beliau dalam sidang media sempena Sambutan Hari Penguatkuasa ke-50 Jabatan Penguatkuasaan DBKL di Dataran Merdeka di sini, hari ini.


    Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, pihak pembangkang diingat supaya jangan sesekali mengkhianati mandat yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

    Dakwa Khalid, tindakan pihak berkenaan adalah bertujuan untuk mensabotaj prestasi PH yang kian menunjukkan peningkatan.

    “Jadi, berilah PH memerintah selama lima tahun walaupun saya cukup memahami bahawa mereka cukup risau kerana hari demi hari prestasi kerajaan PH semakin meningkat.

    “Mereka sedar sekiranya mereka memberikan PH memerintah selama lima tahun, maka PH tidak akan menjadi kerajaan satu penggal,” katanya.

    Sebelum ini, Majlis Setiausaha PH mendesak Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan dua lagi parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah.

    Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Hishammuddin.

    Namun semalam (Sabtu), Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mendakwa mempunyai "bukti tidak langsung" mengenai cubaan 'merampas' kuasa gabungan parti pemerintah sedia ada.

    Sumber: Astro Awani


    from Sehinggit Media News https://ift.tt/2OZ6ws5
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment