Polis menahan seorang pemilik restoran warga Arab berusia 31 tahun kerana disyaki merogol dan meliwat seorang wanita berusia 25 tahun yang baru sahaja dikenalinya selama tiga hari.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mangsa yang juga warga asing itu membuat laporan polis setelah berjaya melarikan diri daripada suspek. Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan lelaki terbabit.
Menurut keterangan awal mangsa, dia mengenali suspek yang merupakan pemilik sebuah restoran Arab pada 28 Oktober lalu. Ketika mangsa berada di rumahnya di Ara Damansara pada jam 10.30 malam, 31 Oktober 2020, suspek tiba-tiba muncul membawa bungkusan makanan dan minuman keras.
Dua jam kemudian, suspek yang mabuk memaksa mangsa melakukan hubungan intim, tetapi mangsa enggan menuruti kemahuannya. Tindakan wanita itu membuatkan suspek bengang lalu menampar muka mangsa sebelum merogol dan meliwat mangsa.
Suspek kemudian mengajak mangsa untuk mandi bersama sambil mengatakan wanita itu adalah isterinya.
Ketika suspek sedang tidur, mangsa mengambil peluang itu untuk melarikan diri ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis.
Suspek yang berasal dari Timur Tengah itu kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 377 Kanun Keseksaan kerana meliwat. Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.
Sumber: Astro Awani
from The Reporter https://ift.tt/3oOhdgp
via IFTTT
No comments:
Post a Comment