Semenjak ibu dan bapanya dipenjarakan kerana kesalahan yang membabitkan salahguna dadah, kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, Nurul Farisha Mohd Ridzuan, terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga tiga adiknya.
Anak kedua daripada lima beradik itu tidak pernah mengeluh, malah membantu abangnya, Muhammad Faris Abdullah, 12, dengan sehabis baik untuk menjaga tiga adiknya, Muhammad Faisal, 6, Muhammad Fakhrul Rizal, 3, dan Muhammad Faiz Farhan, 1.
Ketika kanak-kanak di usianya sedang bahagia, dia pula perlu menyediakan makanan untuk adik beradiknya menggunakan dapur kayu sambil mendukung adik bongsunya.
"Di rumah ini, kami tinggal bersama datuk dan nenek. Tetapi datuk (Fauzi Ismail, 63) sakit asma kronik dan sentiasa tidak sihat.
"Nenek pula (Wan Hasiah Wan Aziz, 56) keluar bekerja (jual minyak urut dari rumah ke rumah) bagi menyara kami sekeluarga," katanya sewaktu ditemubual wartawan Sinar Harian di kediaman mereka di Kampung Binjal Pulau, Kubang Terap, Ahad lalu.
Menu seharian mereka adalah seperti nasi dan ikan goreng, adakalanya mi segera. Adik bongsunya pula terpaksa diberi minum susu pekat manis bagi menggantikan susu tepung.
Disebabkan kedaifan itu, sudah dua tahun mereka tidak bersekolah, selain disebabkan kerap berpindah randah.
"Kali terakhir kami bersekolah semasa di Seremban. Saya tidak pandai menulis dan membaca, tetapi abang (Muhammad Faris) boleh.
"Kami sangat teringin untuk bersekolah, tapi hidup kami tidak seperti orang lain," katanya.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter https://ift.tt/3btoUCZ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment