Seorang kanak-kanak berusia 6 tahun dan bayi berusia setahun lima bulan parah selepas dirempuh sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki mabuk dalam kejadian di Kilometer 57, Jalan Batu Pahat - Mersing, lewat petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Md Noh berkata, mangsa Nur Hana Humaira (1) parah di bahagian kepala, mengalami pendarahan otak serta cedera di tulang pinggul. Manakala kakaknya, Nur Aisyah Humaira (6), juga mengalami kecederaan teruk di kepala, pendarahan di otak dan bengkak tulang rahang.
Ibu bapa mangsa turut mengalami kecederaan dan kesemua mangsa dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.
Siasatan awal polis mendapati, suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta Nissan Navara dalam perjalanan menuju ke Mersing. Apabila tiba di tempat kejadian, suspek terlanggar bahagian belakang kereta mangsa, Toyota Vios, lalu hilang kawalan dan melanggar pokok di bahu jalan sebelah kiri.
Ekoran kejadian itu, suspek yang dipercayai mabuk itu telah ditahan dan sampel darahnya juga telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia untuk pemeriksaan toksikologi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusof Othman, 34, meluahkan rasa terkilannya berhubung kejadian yang menimpa dua anak mereka.
"Kedua-dua anak saya ditidurkan dan perlu menjalani ujian imbasan. Jika ada pendarahan teruk pada otak, mereka akan jalani pembedahan.
"Saya cukup terkilan kerana kemalangan begini (berpunca dari pemandu mabuk) sudah kerap berlaku, pesalah sepatutnya dihukum setimpal dengan perbuatan mereka.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, saya sedang berbual bersama isteri dan anak-anak. Tiba-tiba dikejutkan dengan pelanggaran dan kenderaan saya terlanggar pokok lalu berpusing dan selepas itu pandangan saya kabur.
"Saya lihat dua anak saya didukung orang ramai, nampak tak nampak kelibat isteri ketika itu. Sebaik sedar daripada pengsan, saya sudah berada di atas katil hospital," katanya.
Setakat yang dilaporkan, Mohd Yusof masih belum dapat bertemu dengan anak-anaknya. Beliau berharap isteri dan anak-anaknya berada dalam keadaan baik dan bersyukur mereka masih dipanjangkan nyawa.
Bapa kepada dua anak itu turut berharap semua pihak mengambil pengajaran daripada kejadian itu yang berpunca dari pemandu mabuk.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/l489AYg
via IFTTT
No comments:
Post a Comment