Hukuman penjara 18 tahun dijatuhkan terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) setelah didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain. Manakala, 12 lagi penuntut UPNM yang didapati bersubahat dalam kes itu dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.
Hakim Mahkamah Tingi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.
Dalam pada itu, bapa Zulfarhan, Zulkarnain Idros berkata, dia memaafkan kesemua tertuduh walaupun berat hatinya untuk berbuat demikian.
"Berat nak cakap, tetapi jujurnya saya maafkan tertuduh, apa yang mereka buat kepada anak saya. Dengan maafkan, barulah ada kelegaan tetapi saya akan lawan sampai ke mahkamah rayuan.
"Kalau ikutkan hati, tak puas hati juga apabila (mereka hanya) dipenjara 18 tahun saja. Bagaimanapun, saya dimaklumkan pihak pendakwa raya akan failkan ke mahkamah rayuan dalam masa 14 hari dan tertuduh juga akan failkan pembelaan di Putrajaya.
"Pesan saya kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli. Perbuatan itu menyebabkan saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan, idola dan teladan kepada adik-adik," katanya.
Sementara itu ibu Zulfarhan, Hawa Osman, berharap hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh dapat membuka mata dan minda masyarakat agar kejadian seperti itu tidak berulang.
"Kehilangan arwah memberi kesan kepada saya dan suami kerana kami menanam impian arwah akan menjaga kami ketika usia tua. Kejadian itu menyebabkan saya trauma untuk melepaskan anak-anak sendirian menyambung pelajaran di peringkat tertinggi kerana bimbang kejadian sebegini akan berulang kembali.
"Selain itu, ia memori pahit untuk saya terima kerana arwah anak yang menceriakan suasana rumah dan mesra dengan ahli keluarga lain. Walaupun pemergiannya hampir empat tahun, saya rasakan seperti baru semalam terjadi.
"Kepada tertuduh, mereka diberi peluang oleh hakim kerana kesalahan pertama. Jangan ada kesalahan kedua, ketiga selepas dibebaskan dari hukuman penjara. Itu yang saya minta," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/3By724J
via IFTTT
No comments:
Post a Comment