Seorang remaja perempuan dari Tennessee dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital selama lima hari dan bergantung pada mesin bantuan pernafasan untuk paru-parunya yang lemah berpunca dari ketagihan rokok elektronik atau vape sejak empat tahun lalu.
Julia Roberts, 18, mula menghisap vape pada usia 14 tahun setelah terpengaruh dengan rakannya lalu menjadi ketagih dan kerap menghisap vape jenis pakai buang setiap dua minggu.
Akibatnya, dia dimasukkan ke hospital pada 7 Januari kerana mengalami kesukaran bernafas. Hasil x-ray menunjukkan paru-parunya yang kelihatan putih telah rosak disebabkan vape, ditambah pula dengan kesan teruk dari penggunaan vape palsu yang mengandungi bahan kimia bertoksik menyebabkan dia mengalami radang paru-paru.
Doktor terpaksa meletakkan mesin sokongan hidup pada Robert selama lima hari. Walaupun kini sudah pulih, dia tetap perlu menggunakan mesin bantuan oksigen sepanjang masa.
Roberts yang kini sedang beransur pulih, berikrar tidak akan menggunakan vape lagi kerana dia dimaklumkan bahawa dia berisiko untuk mendapat serangan jantung kerana tekanan pada paru-parunya yang lemah.
"Pada hari kejadian, bila bangun dari tidur saya rasa saya mengalami selsema dan tidak sedap badan. Beberapa hari kemudian saya rasa keadaan diri semakin teruk. Tiga hari kemudian, bila saya cuba berdiri tiba-tiba saya terjatuh dan rasa sukar bernafas. Saya fikir saya akan pengsan.
"Saya terus menghubungi teman lelaki saya dan memberitahunya yang saya perlu pergi ke hospital segera kerana ada sesuatu yang tidak kena.
"Sebaik saja tiba di hospital, saya diperiksa dan terus dibawa masuk kerana tahap oksigen dalam badan saya rendah. Selepas melakukan semua ujian, keadaan saya bertambah teruk dan dipasang mesin sokongan hidup. Doktor kata, kalau saya tidak datang awal pada malam itu, saya mungkin sudah mati. Ini sangat menakutkan," katanya.
Roberts menghabiskan masa di hospital selama 12 hari termasuk lima hari di wad ICU. Keadaannya akan kembali normal selepas 3 hingga 12 bulan, bergantung kepada paru-parunya untuk bernafas sendiri tanpa membebankan jantung.
Roberts berkata, doktor telah memberi amaran kepadannya bahawa paru-parunya sebelum ini telah terjejas dan penggunaan vape sekali lagi boleh membunuhnya. Hal itu membuatkan dia berikrar tidak mahu menggunakan vape lagi dan berharap dapat menggalakan orang lain berhenti sebelum terlambat.
Sumber: Daily Mail
from The Reporter https://ift.tt/4dGLvgl
via IFTTT
No comments:
Post a Comment