loading...
  • Breaking News

    Tuesday, August 25, 2020

    Suami pukul isteri kerana berang ditegur leka bermain game, dipenjara 30 hari


    Mahkamah Majistret Bahau hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap seorang lelaki kerana didapati bersalah di atas pertuduhan memukul isterinya pada 21 Ogos lalu. 

    Majistret Khir Nizam Jemari, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Hazwan Mohd Amiruddin selepas lelaki itu mengaku bersalah memukul isterinya yang berusia 27 tahun. 

    Berdasarkan pertuduhan, Mohd Hazwan didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dalam kejadian itu yang berlaku di kediaman mereka di Bandar Seri Jempol, pada jam 5 petang. 

    Mohd Hazwan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah. 

    Difahamkan pada hari kejadian 21 Ogos 2020, pasangan itu bertengkar mulut di mana si isteri menegur suaminya yang terlalu leka bermain permainan video di telefon bimbit. 

    Berang dengan teguran itu, tertuduh bertindak menyerang isterinya sehingga cedera sebelum kembali menyambung semula bermain permainan video di telefon bimbit. 

    Kejadian tidak terhenti setakat itu. Di sebelah malam pada hari yang sama, ketika dalam perjalanan ke pasar malam berdekatan, tertuduh memukul muka isterinya sekali lagi. 

    Tidak tahan dengan perbuatan si suami, mangsa yang baru saja sampai di rumah terus keluar semula untuk membuat laporan polis. 

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

    Sumber: Harian Metro



    from The Reporter https://ift.tt/2ED3iHl
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment