Setiap orang mempunyai pengalaman paranormal/mistik masing-masing. Ini sekadar perkongsian sahaja. Bagi yang lemah semangat, anda tidak digalakkan untuk terus membaca.
PAGI itu, seperti biasa aku berlari mengelilingi kompleks untuk menghangatkan badan. Tiba-tiba aku terpijak satu objek, rantai.
Keadaan sekeliling masih sepi, waktu itu pukul lima pagi. Aku ambil rantai itu dan duduk di bawah pohon beringin di tepi jalan, menunggu jika ada orang yang datang mencari rantai itu.
Dua jam menunggu, tetapi tiada seorang pun yang lalu di jalan itu. Entah kenapa jalan yang biasanya banyak dilalui oleh kenderaan menjadi seperti jalan mati tanpa ada satu pun kenderaan yang lalu.
Aku tengok rantai tu, baru tersedar yang loketnya berbentuk F, sama seperti nama aku, Fifi. Mungkin rantai ini dibuang oleh pemiliknya dan aku pula beruntung menemuinya yang kebetulan sama dengan huruf awal nama aku. Aku ambil dan masukkan dalam poket.
Sampai di rumah, aku terus ke bilik dan keluarkan rantai itu dari poket. Aku cuba pakai dan tiba-tiba angin sejuk meniup badan, serta-merta bulu roma meremang.
Bila aku tengok cermin, memang cantik rantai ini dan tak mungkin aku nak lepaskan. Dalam masa yang sama aku terpandang di belakang aku ada seorang wanita yang wajahnya pucat sedang menatap ke arah aku.
Aku terkejut dan melihat ke belakang, tetapi tiada sesiapa pun. Aku mula rasa takut dan terus berlari keluar.
"Jangan!!!" aku terbangun dan peluh membasahi badan.
"Fi bangun! Fifi! Kamu kenapa Fifi?!" soal mama yang cemas melihat aku.
"Saya mimpi buruk ma," kata aku langsung memeluk mama sambil menangis.
"Bawa bertenang, itu cuma mimpi," kata mama.
"Tapi kenapa mimpi itu terasa begitu nyata ma? Saya takut!".
"Bertenang, kamu dah kenapa sampai jadi macam tu? Kamu sakit?"
"Tadi saya nampak hantu di pokok berhampiran rumah kita ma."
"Mungkin itu cuma halusinasi kamu sahaja," kata mama.
"Tak ma, yang tadi itu betul."
"Dahlah, kamu nak sambung tidur lagi ke?"
"Tak, malam ini saya tidur di bilik mama ye, saya takut."
"Sudah.. sudah. Nanti malam tidur dengan mama."
Hari ini, aku berniat nak membuang rantai itu. Aku harap selepas itu, semua gangguan ini berakhir. Aku buang rantai itu ke tempat yang aku jumpa semalam.
"Rantai, aku dah kembalikan kamu ke tempat asal. Jangan ganggu aku lagi," aku kata dan terus beredar dari tempat itu.
Di sebelah malam, aku tak dapat melelapkan mata. Aku tengok jam dah pukul satu pagi, kenapa susah sangat aku nak pejamkan mata?
Aku terus merenung jam dan berharap dapat tidur. Namun, tiba-tiba terdengar suara rintihan meminta tolong. Suaranya perlahan tetapi amat mengerikan. Aku terus berlari masuk ke bilik mama. Mujur pintu bilik mama tak dikunci. Aku terus masuk dan tidur di sebelah mama.
"Tolong.... Tolong aku.."
"Kamu siapa?" tanya aku.
"Tolong bakar rantai itu agar aku dapat pergi dengan tenang," katanya.
"Kenapa? Kenapa aku yang perlu bakar rantai itu?"
"Kerana aku sangat terseksa," kata gadis itu kemudian terus menghilang.
"Tunggu!! Jangan pergi!!"
"Fi bangun! Kamu bermimpi lagi?" suara mama membuatkan aku terbangun.
"Rantai apa?" tanya mama lagi.
Aku terus menjelaskan apa yang berlaku dan entah kenapa tiba-tiba muka mama menjadi pucat dan tegang seperti ada sesuatu yang disembunyikan dari pengetahuan aku.
Keesokkan harinya, aku kembali ke tempat rantai itu dibuang. Aku cari rantai itu, tetapi tak ditemui. Aku teruskan mencari dan akhirnya berjaya menemukannya.
Ketika aku nak mengambil semula rantai itu, tiba-tiba rantai itu melayang dan terus melilit leher aku. Aku cuba membuka rantai itu tetapi gagal. Semakin aku mencuba, semakin ketat rantai itu mencekik leher aku.
Aku menjerit-jerit meminta tolong, kemudian ada seseorang yang datang menghampiri, rupanya mama! Tak tahu kenapa mama ada di sini dan mama terus membantu aku membuka rantai itu. Tapi masih tak berjaya.
Kemudian mama memohon dan meminta tolong agar rantai itu melepaskan aku. Mama sempat berkata yang aku ini adalah 'adiknya' dan meminta jangan dibawa aku bersama dengannya kerana mama tak nak perkara yang sama berulang kembali.
Aku tak faham apa yang mama maksudkan tetapi selepas mama cakap macam tu, rantai itu terus dapat dibuka. Aku buang rantai itu ke tanah dan mama siram dengan petrol lalu dibakar.
Ketika aku melihat rantai itu dibakar, ternampak sosok perempuan yang tersenyum pada aku. Aku balas senyumannya.
Aku tanya kenapa mama ada di tempat ini dan kenapa rantai itu dapat dibuka selepas mama cakap macam tu.
"15 tahun yang lalu sebelum kamu dilahirkan, ada kejadian tragis menimpa kakak kamu. Kakak kamu menderita penyakit misteri yang tidak dapat disembuhkan. Papa dan mama dah bawa kakak kamu berubat di serata tempat tetapi masih juga tidak berjaya mengubatinya.
"Kami hampir putus asa. Menurut orang yang mengubati kakak kamu kata, rantai yang ditemui oleh kakak yang menyebabkan dia menjadi begitu. Rantai itu sudah terkena sihir dan bila kakak kamu pakai, dia terkena sihir yang tidak dapat dirawat.
"Masa kami cuba buang dan bakar rantai itu, kami terdengar jeritan kakak kamu dari rumah dan bila diperiksa, rupanya kakak kamu sudah meninggal dunia dalam keadaan yang mengerikan.
"Roh kakak kamu terperangkap dalam rantai itu dan tidak dapat keluar. Kalau ada orang yang terjumpa rantai itu dan berjaya membakarnya, maka roh-roh yang terperangkap di dalamnya akan terlepas dan pergi dengan tenang," jelas mama.
"Jadi sebenarnya saya ada kakak, kenapa baru sekarang mama ceritakan kejadian ini?" soal aku.
"Mama dah lupakan tentang ini semua. Tapi ketika kamu ceritakan tentang rantai itu, mama teringat semula kejadian yang menimpa kakak kamu.
"Jadi, mama ikut kamu dari belakang dan benar sangkaan mama kamu pergi mencari rantai itu semula. Nasib baik kamu tak jadi seperti kakak kamu. Mama bersyukur kamu selamat sayang," kata mama sambil memeluk aku.
Walaupun aku dah selamat, tapi aku sedih kerana baru diberitahu tentang kejadian ini. Sosok perempuan yang berada dalam mimpi dan meminta tolong aku berkali-kali rupanya adalah kakak aku.
Yang tersenyum tadi juga mungkin adalah kakak aku yang mahu mengucapkan terima kasih dan salam perpisahan.
Sumber: Fifi
from The Reporter https://ift.tt/32yr5BZ
via IFTTT
No comments:
Post a Comment