Lagi peniaga dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak berkuasa yang membabitkan peniaga colek dan peniaga kedai runcit yang mendakwa mereka dikenakan kompaun tanpa budi bicara.
Mohd Azizi Mohd Nor, 42, yang berniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu, Kelantan, mengakui dia terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis pada jam 11.20 malam, Ahad lalu.
Menurutnya, anggota polis berkenaan tidak bertanyakan maklumat lanjut kepada mereka dan terus menulis kompaun dengan jumlah RM50,000 atas kesalahan beroperasi melebihi had masa yang ditetapkan dalam tempoh PKP.
"Saya terkejut sampai hilang kata-kata melihat jumlah yang kami perlu bayar. Sedangkan nak mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun agak sukar kerana berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung," katanya.
Difahamkan, pada waktu itu, Mohd Azizi telah menutup kedainya pada jam 10 malam dan sebahagian lampu juga telah ditutup. Yang tinggal hanyalah lampu di bahagian dapur kerana dia dan isterinya sedang mengemas. Dalam masa yang sama, dia sedang menggoreng keropok untuk lima anaknya yang masih belum tidur.
"Saya agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudha dikenakan RM50,000. Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mi celup pada hari biasa. Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, kami berniaga colek di waktu malam.
"Sejak dikenakan kompaun itu, saya dan isteri buntu dan tak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami. Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu.
"Jangan katakan RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih memilih untuk masuk penjara," katanya.
Sementara itu, Mansah Marjurin, 47, yang mengusahakan kedai runcit di Jalan Cempaka di Kota Bharu turut menerima nasib yang sama.
"Kedai saya dah tutup, saya ada bukti CCTV. Hanya lampu sahaja menyala kerana masih ada anak saudara saya di dalam untuk mengemas. Semua pagar utama sudah ditutup.
"Saya sangat terkejut apabila didatangi empat pegawai polis dan terus menyaman saya sebanyak RM50,000 dan terus beredar apabila siap menyaman tanpa budi bicara," kata bapa kepada tiga anak itu yang telah berniaga kedai runcit selama sembilan tahun.
Sama seperti Mohd Azizi, Mansah juga tidak mampu membayar kompaun tidak masuk akal itu kerana masih banyak menanggung hutang yang tertunggak.
"Ambillah kedai saya, memang saya tidak mampu untuk bayar RM50,000. Saya juga menanggung tunggakan rumah tujuh bulan sebanyak RM650 sebulan dan sebuah kereta yang ditarik oleh pihak bank," katanya.
Walaupun begitu, Mansah akan cuba membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah dan juga berharap ada pihak yang dapat membantunya dalam hal itu.
Sumber: Harian Metro, MalaysiaKini
from The Reporter https://ift.tt/2R0qINc
via IFTTT
No comments:
Post a Comment