loading...
  • Breaking News

    Thursday, March 17, 2022

    Kumpulan Majikan Malaysia tak setuju kerajaan benarkan pengeluaran khas RM10,000 KWSP kepada semua



    Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) berharap kerajaan tidak membenarkan kelulusan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara menyeluruh.


    Sebaliknya, Presiden MEF Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata pengeluaran khas sehingga RM10,000 itu perlu dibenarkan atas alasan bagi keperluan atau keadaan khusus.


    "Sehubungan itu, MEF berharap pihak pengurusan KWSP akan memasukkan serta memperincikan keadaan khusus itu sebagai sebagai asas untuk membenarkan pengeluaran khas ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

      

    Menurutnya, MEF bimbang pengeluaran caruman ahli KWSP menerusi kemudahan skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini yang mencecah RM101.1 bilion telah mendedahkan mereka terbabit kepada risiko kemiskinan pada usia tua.


    Malah, katanya, kira-kira 48 peratus ahli KWSP berusia di bawah 55 tahun mempunyai simpanan yang kritikal atau amat rendah.


    "Bagi memastikan jumlah simpanan KWSP memadai, ahli yang membuat pengeluaran KWSP itu perlu bekerja tambahan empat tahun hingga enam tahun untuk menampung semula wang yang dikeluarkan sebelum ini.


    "Memandangkan kemungkinan had usia persaraan tidak dinaikkan, pekerja terbabit dijangkakan tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi," katanya.


    Syed Hussain berkata kerajaan juga perlu bertanggungjawab dalam memastikan ahli atau pencarum mempunyai simpanan mencukupi untuk menjalani kehidupan biasa selepas bersara kelak.


    "Kerajaan perlu memikirkan skim-skim lain untuk membantu mereka daripada bertindak mengeluarkan simpanan yang sepatutnya bagi tujuan menampung keperluan usia persaraan. Tanggung jawab ini tidak boleh dilepaskan kepada pekerja secara individu.


    "Jika dilihat daripada keadaan semasa, sudah pasti ianya membimbangkan apabila hanya 3.0 peratus daripada rakyat Malaysia yang mampu bersara dengan selesa.


    "Ini juga jelas menunjukkan bahawa kita memerlukan penyelesaian lebih luas dari segi program jaringan keselamatan sosial yang berkesan, dasar pasaran buruh yang mantap, pertumbuhan ekonomi mampan dan usaha meningkatkan dan kemahiran semula pekerja.


    "Turut diperlukan adalah dasar bagi menggalakkan automasi dan pendigitalan untuk membantu meningkatkan produktiviti serta memastikan peluang manfaat ekonomi lebih besar bagi membolehkan pekerja berpeluang meraih pendapatan lebih, sekali gus dapat meningkatkan caruman KWSP masing-masing," katanya.


    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu sidang media khas hari ini mengumumkan keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP itu bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.


    Sumber: Bernama



    from The Reporter https://ift.tt/ymxZYSe
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment