loading...
  • Breaking News

    Thursday, August 16, 2018

    'Cadang transgender guna tandas OKU, bukan berniat mengecilkan perasaan golongan OKU' - Fuziah


    Cadangan agar golongan transgender menggunakan tandas yang dikhaskan untuk golongan kurang upaya (OKU) bukan bermaksud atau berniat untuk mengecilkan perasaan golongan OKU, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

    Katanya, ia sekadar satu penyelesaian terhadap kebajikan golongan transgender yang mungkin berasa tidak selamat atau tidak selesa untuk menggunakan tandas lelaki atau wanita.

    “Sedih apabila melihat isu ini diperbesarkan, saya hanya memberi cadangan sebab tandas OKU private, ia tidak berkongsi dengan lelaki atau wanita.

    “Ia tidak bermaksud atau berniat untuk mengecilkan golongan OKU, ia cuma mungkin memberi jalan penyelesaian, sebab sekarang ini kalau tidak boleh menggunakan tandas lelaki dan wanita, mereka mahu guna tandas mana?” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam Program Diskusi Seputar Isu bertajuk ‘LGBT : Antara Hukuman dan Bimbingan’ terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.

    Fuziah berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan golongan OKU esok, bagi melihat isu itu secara menyeluruh dan menyatakan komitmennya untuk membantu mereka (OKU) juga.

    Isnin lalu, Fuziah mencadangkan langkah sementara itu sebagai penyelesaian terbaik selepas mengambil kira perasaan segelintir wanita yang berasa tidak selamat apabila golongan transgender menggunakan tandas wanita.

    Bagaimanapun, cadangan itu mendapat reaksi pelbagai pihak antaranya termasuk personaliti televisyen yang juga juga Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral Ras Adiba Radzi yang membantah perkara itu dan mempersoalkan mengapa ia perlu dikongsi dengan mereka yang mempunyai keupayaan.

    Sementara itu, dalam program satu jam yang bersiaran secara langsung di Bernama Radio itu, Fuziah berkata isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu ditangani secara holistik dengan komitmen seluruh masyarakat.

    Katanya, masyarakat memainkan peranan penting menyediakan persekitaran yang positif untuk golongan itu dengan memahami dan menerima keadaan mereka tanpa menyisih atau melakukan diskriminasi terhadap mereka.

    “Saya khuatir tindakan menyisihkan mereka akan menyebabkan golongan ini menjauhkan diri daripada ajaran agama Islam.

    Saya khuatir dengan keadaan di mana masyarakat menunjukkan bahawa mereka ini lebih murni, suci daripada golongan LGBT, saya takut masyarakat melakukan dosa dengan membuatkan LGBT ini lari daripada Islam,” katanya. — Bernama

    BERITA BERKAITAN:


    from The Reporter https://ift.tt/2Pfiwn5
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment