Kerajaan Selangor memutuskan untuk tidak meneruskan pemberian wang khairat kematian kepada rakyat negeri ini, susulan pelaksanaan pelarasan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), bermula 30 April ini.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagaimanapun berkata, warga emas yang berdaftar di bawah skim itu akan menikmati pemberian baucar Jom Shopping bernilai RM100 setahun.
“Langkah itu adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri yang menghargai golongan warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri semasa mereka masih hidup.
“Baucar Jom Shopping ini akan membantu golongan warga emas membeli barang keperluan asas sebagai kelengkapan menjelang musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata, menerusi langkah itu kerajaan negeri menjangkakan lebih 200,000 warga emas di Selangor akan dapat menikmati manfaat tersebut semasa mereka hidup.
“Manfaat ini akan diberikan kepada warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra Usia Emas bermula pada Oktober tahun ini dan kerajaan negeri turut memperuntukkan RM20 juta setahun bagi menjayakan pemberian baucar tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Amirudin berkata, waris bagi warga emas yang berdaftar di bawah SMUE dan meninggal dunia sebelum 30 April ini, boleh menuntut wang khairat kematian berjumlah RM2,500 selewat-lewatnya sebelum 31 Mei tahun ini.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga akan menghentikan sementara programKasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Skim Peduli Sihat (SPS) bagi tujuan mengemas kini data penerima.
Beliau berkata, kedua-dua program itu akan dihentikan selama sebulan untuk mendapatkan pengesahan senarai mereka yang layak menerima bantuan dua program tersebut.
“Program KISS akan dikemas kini bermula 1 Jun sehingga 1 Julai tahun ini manakala SPS pulabermula pada 1 Mei hingga 1 Jun.
“Kami mahu pastikan golongan yang layak dan golongan yang sangat memerlukan berdasarkan proses pengesahan melalui semakan silang dengan senarai penerima BSH (Bantuan Sara Hidup) atau Sistem e-Kasih,” katanya. - BERNAMA
from The Reporter http://bit.ly/2IYlaws
via IFTTT
No comments:
Post a Comment