Foto hiasan | Google Images |
Oleh Peguam, Hasif Hasan
Saya menonton sebuah video yang dimuat naik ke laman sosial yang menunjukkan kisah seorang pelanggan kedai makan membuat pesanan nasi goreng. Selepas memakan sebahagian nasi, beliau telah menemuii seekor cicak yang telah digoreng bersama 'lauk' lain.
Banyak pendapat diterima penghantar dari pembaca berita tersebut termasuk menyaman, meminta ganti rugi, memboikot kedai dan pelbagai lagi.
Saya teringat satu kes yang pernah berlaku kepada anak guam saya apabila beliau menemui satu bangkai cicak di dalam botol kicap. Beliau kemudiannya dinasihati oleh rakan-rakannya yang lain untuk menghubungi kilang berkenaan dan memaklumkan penemuan tersebut.
Terdapat perbincangan antara mangsa dengan pengurus kilang tersebut. Semua ini berlaku tanpa sebarang nasihat guaman dari yang pakar. Beliau kemudiannya telah meminta bayaran gantirugi sebanyak beberapa ribu daripada pengurus kilang itu.
Mungkin pada pandangan beliau kilang akan membuat bayaran atas trauma, 'muntah hijau' dan gantirugi teladan.
Malangnya, pandangan beliau itu silap apabila pada sebelah petang, ada anggota polis datang dan menangkapnya atas dakwaan peras ugut. Pengurus kilang berkenaan dikatakan telah membuat laporan polis kerana telah diperas ugut.
Anak guam bagai kayu lempung ditebuk kumbang tembus menembus. Anak guam kemudiannya dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara selama 7 tahun atau dengan denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman.
Pada pandangan saya, beliau sepatutnya membuat laporan polis terlebih dahulu dan bukannya terus menelefon pihak kilang berkenaan dan terus meminta sejumlah wang bagi tujuan tidak membuat hebahan atau membuat 'viral' atas kejadian tersebut.
Mungkin jika perlu diadakan perbincangan sekalipun, bawalah peguam atau cerdik pandai bersama agar butir-butir perbincangan adalah jelas dan unsur peras ugut tidak akan timbul.
Pada saya beliau seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
from The Reporter http://ift.tt/2npNsGR
via IFTTT
No comments:
Post a Comment