Pemuda UMNO Perlis hari ini mendesak Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Azran Mohamad dipecat, kerana didakwa berkongsi dan memuat naik fitnah serta tohmahan terhadap pemimpin tertinggi negara, lapor Sinar Harian.
Ketua Pemuda UMNO Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, tindakan Azran memuat naik fitnah di laman Facebook peribadinya dan selaku pegawai kanan di JPN menunjukkan sikap seperti orang tidak terdidik kerana berkongsi fitnah dan penghinaan.
"Tiada nilai-nilai pendidikan dan kemanusiaan yang baik dapat kita harapkan daripadanya (Azran). Beliau harus dipecat sebagai kakitangan kerajaan jika terbukti bertanggungjawab ke atas fitnah dan tohmahan yang dikongsi dalam laman sosial," katanya.
Difahamkan, dua laporan polis telah dibuat agar Azran disiasat dan diambil tindakan.
Syed Atif berkata, isu kakitangan kerajaan menjadi anti-kerajaan bukanlah perkara baru.
"Tindakan kakitangan kerajaan yang berbuat demikian menghina majikan mereka sudah berulang kali dilaporkan. Namun begitu, tidak ada satu tindakan drastik yang mampu mendisiplinkan kakitangan kerajaan agar lebih beradab dalam menjaga hubungan baik dengan majikan," katanya.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO Perlis mencadangkan agar kerajaan mempermudahkan proses pemecatan kakitangan kerajaan yang anti-kerajaan dan tindakan itu akan dapat membuka peluang pekerjaan kepada generasi muda yang lebih komited dan energetik dalam menyempurnakan tugasan mereka.
"Jika perkara ini dibiarkan berlanjutan, ia akan menjadi kebiasaan dalam kalangan kakitangan kerajaan untuk memburukkan imej majikan mereka,"katanya.
from The Reporter http://ift.tt/2my5BPp
via IFTTT
No comments:
Post a Comment