Ibu kepada bayi lelaki yang didera pengasuh kerana lewat membayar upah, tampil menafikan dakwaan pengasuh terbabit.
Dalam laporan Harian Metro, wanita berusia 17 tahun itu kesal dengan tindakan pengasuh yang kejam tergamak memperlakukan anaknya sehingga koma dalam kejadian di kediaman suspek di Batu Kawa, Kuching, Sarawak.
"Apa dosa anak saya diperlakukan sebegitu sehingga tidak sedarkan diri? Hanya disebabkan permintaan untuk menaikkan yuran asuhan tidak dipersetujui, anak saya menjadi mangsa dia melepaskan geram," katanya.
Menurut ibu mangsa, bayinya yang berusia 14 bulan itu dihantar dalam keadaan sihat kepada pengasuh berusia 23 tahun yang dikenalinya melalui Facebook selepas menawarkan perkhidmatan asuhan kanak-kanak dengan yuran sebanyak RM200 sebulan.
"Saya dan suami bertemu dengan wanita itu (suspek) dan kami bersetuju dengan tawaran yang diberikan, namun selepas beberapa hari menghantar anak, dia meminta yuran asuhan dinaikkan sehingga RM700.
"Kami tidak bersetuju dengan permintaannya yang keterlaluan. Dia memberi alasan makan dan minum anak serta sering lewat mengambil anak menjadi punca yuran asuhan dinaikkan.
"Yuran asuhan memang belum dijelaskan kerana anak kami baru diasuh tiga minggu lalu dan alasan diberikan suspek kami tidak membayar upah kepadanya adalah tidak benar," katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak.
Pada hari kejadian katanya, dia menerima panggilan melalui WhatsApp di mana pengasuh itu cemas dan mengatakan anaknya menangis tanpa henti. Dia dan suaminya yang berusia 21 tahun kemudian bergegas dari tempat kerja menaiki motosikal untuk mengambil anak mereka, tetapi terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan tidak bernafas dan pucat.
"Saya dan suami tidak tentu arah, namun bersyukur kerana ada seorang lelaki sudi menghantar kami ke HUS dengan menaiki keretanya. Tidak dapat saya gambarkan perasaan ketika itu kerana apa yang penting anak saya segera dihantar dan menerima rawatan secepat mungkin," katanya.
Mendedahkan mengenai perkembangan anaknya, doktor memaklumkan mangsa masih memerlukan alat bantuan pernafasan. Bagaimanapun, jangkitan kuman di paru-parunya sudah semakin pulih.
Pasangan suami isteri itu kini hanya berdoa agar anak mereka kembali sembuh. Mereka juga akan lebih berhati-hati selepas ini jika mahu menghantar anak mereka kepada pengasuh.
Sementara itu, polis masih meneruskan siasatan lanjut terhadap suspek dan kemungkinan tempoh reman suspek akan dilanjutkan.
BERITA BERKAITAN:
from The Reporter https://ift.tt/2RlcUaX
via IFTTT
No comments:
Post a Comment