loading...
  • Breaking News

    Wednesday, October 24, 2018

    Kes saman fitnah, Neelofa setuju selesai cara baik dengan OMM dan Rotikaya


    Pelakon Neelofa bersetuju menyelesaikan secara baik kes saman yang dikemukakannya terhadap dua pengendali portal hiburan yang didakwa telah memfitnahnya melalui penerbitan dua artikel membabitkan namanya. 

    Lapor Harian Metro, persetujuan bagi menyelesaikan kes itu dicapai melalui proses mediasi di Pusat Mediasi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di hadapan Timbalan Pendaftar Nurulizwan Ahmad Zubir selalku perantara, hari ini. 

    Neelofa mengemukakan saman terhadap OMM Media Sdn Bhd dan Rotikaya Media Sdn Bhd membabitkan artikel mengenai pelancaran koleksi hijab Be Lofa di pusat hiburan Zouk dan Anugerah Ikon Wanita. 

    OMM Media selaku syarikat pengendali portal Oh My Media, manakala Rotikaya Media adalah pengendali portal Rotikaya. Kes saman itu difailkan secara berasingan terhadap kedua-dua defendan. 

    Peguam Aiman Ariff Abdul Azij, yang mewakili OMM Media ketika ditemui pemberita selepas proses mediasi, berkata Neelofa dan anak guamnya bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu berdasarkan terma yang dipersetujui. Peguam itu bagaimanapun tidak mendedahkan terma terbabit.

    Katanya, penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes itu akan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye. Bagaimanapun, tarikhnya belum ditetapkan.

    Sementara itu, peguam Mohamad Lokman Hakim Abd Rahman mewakili Rotikaya Media ketika dihubungi, berkata kedua-dua belah pihak berjaya menyelesaikan kes secara baik.

    Beliau berkata, penghakiman persetujuan berhubung penyelesaian itu akan direkodkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman pada 8 November ini.


    Melalui saman dan pernyataan tuntutan terhadap OMM Media pada September lalu, Neelofa berkata, defendan mengeluarkan pernyataan fitnah terhadapnya melalui artikel disiarkan di laman web defendan iaitu www.ohmymedia.cc.

    Plaintif berkata, artikel itu berhubung Anugerah Ikon Wanita yang diterimanya, adalah tidak benar sama sekali dan diterbitkan defendan tanpa memberi peluang kepadanya untuk membuat penafian.

    Katanya, selepas beliau menjelaskan keadaan sebenar dan menunjukkan kenyataan rasmi daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, defendan masih gagal mengeluarkan artikel terbabit.

    Difahamkan, saman difailkan Neelofa terhadap Rotikaya Media turut membabitkan isu sama.

    Sementara itu, pemberita hari ini gagal mendapatkan penjelasan dan kenyataan daripada Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mengenai kes saman terbabit.


    from The Reporter https://ift.tt/2Pj6xrn
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment