Foto hiasan | Mekanika |
Kenaikan petrol RON 97 sehingga RM4.83 seliter membuatkan para pengguna kereta mewah atau berprestasi tinggi akhirnya terpaksa mengalah apabila beralih menggunakan petrol RON 95 yang dijual pada harga RM2.05 seliter.
Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa lokasi di kawasan Lembah Klang mendapati, pengguna pelbagai jenis kenderaan mewah seperti Toyota Alphard, Vellfire, Land Rover, BMW dan Mercedes-Benz terpaksa membeli RON 95.
Peniaga yang hanya dikenali sebagai Kelvin Ng, 36, berkata, sejak tiga tahun lalu dia merupakan pengguna setia RON 97, tetapi kini terpaksa bertukar ke RON 95 kerana harga terkini bahan api itu di luar kemampuannya.
"Walaupun berat hati dan sayangkan enjin kereta, saya tiada pilihan sebab tak mampu lagi buat masa ini. Bila pakai RON 95, kualitinya memang berbeza berbanding RON 97.
"Bayangkan tangki berkapasiti 60 hingga 70 liter kalau isi petrol RON 97 dengan kapasiti penuh boleh mencecah kos hampir RM280 hanya untuk penggunaan seminggu dan ia sangat tidak berbaloi," katanya.
Begitu juga dengan kontraktor, Mohd Amir Asyraf, 41, yang turut terkesan sehingga memaksanya kembali menggunakan RON 95 untuk kereta BMW miliknya sejak bulan lalu.
"Bila tukar kepada RON 95, saya boleh jimat RM600 hingga RM700 sebulan. Jumlah itu boleh beli barang asas dapur untuk kami sekeluarga sebulan.
"Tetapi saya akan mempertimbangkan kembali untuk menggunakan RON 97 kalau harganya lebih berpatutan kelak," katanya.
Bagi seorang pengusaha minyak di Subang Jaya yang tidak mahu dikenali berkata, penjualan RON 97 mengalami penurunan sehingga 50 peratus susulan kenaikan mendadak harga bahan api berkenaan.
"Sejak harga RON 97 meningkat bermula dengan harga RM4.08 dan terbaharu RM4.83, memang kadar penjualan RON 97 berkurangan. Ramai pelanggan memilih untuk mengisi RON 95 kerana kerajaan menetapkan harga siling kepada RM2.05," katanya.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/rC5NPWz
via IFTTT
No comments:
Post a Comment