loading...
  • Breaking News

    Tuesday, June 14, 2022

    'Siapa beri air kepada Bella?!' - jerit Bainun, dakwa Bella suka kencing kalau minum air



    Seorang saksi memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pernah menjerit dengan nada marah menyoal siapa yang memberi air kepada remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella semasa berada di sebuah kondominium di Wangsa Maju di Kuala Lumpur.


    Pegawai Penyelidik Undang-Undang di sebuah firma guaman, Suhana Zam, 40, bagaimanapun berkata, selepas mengetahui Haiza yang merupakan kakak angkatnya (Suhana) memberikan air kepada Bella, Siti Bainun terus merendahkan nada suaranya pada kejadian 14 Jun 2021.


    “Ketika itu Yasmin (Yasmin Nahar Mahmood iaitu saksi pendakwaan kelima) pergi ke arah Bainun dan memberitahu ada orang bagi air kepada Bella. Tiba-tiba Bainun jerit sangat kuat dan bertanya, siapa bagi kepada Bella dengan nada marah.


    “Saya dan beberapa penghuni kondominium lain sangat terkejut. Kemudian Kak Haiza beritahu dia yang memberi air kepada Bella.


    “Kak Haiza kemudian bertanya apa masalahnya dan Siti Bainun kemudian menjawab ‘oh akak ke yang bagi, bukan apa Bella ini kalau minum dia suka kencing. Kak Haiza kemudian menjawab "memang lah kalau minum akan kencing,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Siti Bainun.


    Ketika disoal balas peguam Mohammad Farhan Maaruf berhubung kelibat yang dilihat pada tengah malam di tepi peti sejuk ketika Suhana membuat kerja-kerja pejabat di kondominium, tahun lepas, saksi itu berkata kelibat itu adalah Bella dan bukannya hantu.


    Ditanya peguam itu sama ada beliau tidak takut melihat susuk tubuh berdiri di hadapan peti sejuk dalam keadaan tidak bergerak pada waktu tengah malam, saksi pendakwaan kelapan itu menjawab; “tidak takut”.


    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.


    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung Khamis ini.


    Sumber: Bernama



    from The Reporter https://ift.tt/9L1hr2J
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment