loading...
  • Breaking News

    Wednesday, July 18, 2018

    'Daging wagyu bukan ditempah pengurusan Parlimen' - 2 pihak tampil nafi dakwaan pengguna Twitter


    Viral di media sosial baru-baru ini gambar hidangan mewah berasaskan daging semasa majlis perasmian sidang Dewan Rakyat yang didakwa RM2,000 sekilogram mengundang pelbagai reaksi netizen. 

    Pengguna Twitter, @TheDukeofKL memuat naik gambar berkenaan yang mempertikaikan hidangan mewah itu yang didakwa disediakan di atas permintaan kerajaan baharu, ketika negara sedang berdepan dengan masalah hutang kerajaan terdahulu mencecah RM1 trilion. 

    "Hutang negara RM1 trilion. Rakyat pula terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi. Tapi di Dewan Rakyat, mereka jamu daging Wagyu yang berharga RM2,000 sekilo. Tahniah kerajaan Pakatan Harapan," tulisnya. 


    Tweet itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang kemudian meluahkan rasa kesal terhadap pendedahan itu dan menyifatkan hidangan itu sebagai pembaziran.

    Bagaimanapun, Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen, Tengku Nasaruddin Tengku Mohamed menafikan dakwaan tweet yang tidak berasas itu dan menjelaskan hidangan itu tidak ditempah oleh pengurusan Parlimen. 

    Sebaliknya, sajian itu adalah menu tambahan yang disediakan oleh pihak katerer bagi meraikan perlantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof. 

    "Untuk makluman, Parlimen tidak pernah berbelanja mewah bagi tujuan tersebut. Perbelanjaan adalah mengikut tatacara kewangan yang telah ditetapkan.

    "Sebagai maklumat tambahan, kadar kelayakan bagi majlis tersebut adalah RM120 untuk seorang tetamu. Namun, Parlimen hanya meluluskan kadar RM50 untuk seorang bagi tujuan tersebut yang mana jumlah keseluruhannya RM400 untuk kos hidangan meja utama seramai lapan tetamu, bukan disajikan kepada semua jemputan," katanya. 

    Dalam pada itu, beliau juga kesal dengan tindakan individu yang menyebarkan isu hidangan itu tanpa mendapatkan maklumat yang sahih sehingga menimbulkan persepsi negatif netizen terhadap Parlimen. 

    "Sehubungan itu, Parlimen berharap isu ini tidak berpanjangan demi menjaga imej dan identiti Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi negara," katanya. 

    Sementara itu, Pengurus Putrade Property Management Sdn Bhd, Wan Abdulah Wan Mohamad menegaskan hidangan daging wagyu untuk Perdana Menteri dan tujuh lagi tetamu khas di meja utama pada majlis itu hanya berharga RM280 sekilogram, bukannya RM2,000 seperti yang didakwa oleh @TheDukeofKL. 


    "Ia bukan ditempah oleh pengurusan Parlimen. Sebaliknya pemberian ikhlas daripada pihak katerer bagi meraikan kerajaan baharu dan Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya yang juga mengakui ini adalah kali pertama menu hidangan untuk meja utama menjadi viral di media sosial. 

    Difahamkan, menu yang dihidangkan pada hari kejadian adalah nasi putih, dada ayam kuah percik, udang harimau goreng mentega, daging wagyu masak kicap kentang, rusuk kambing goreng berempah, tauhu Jepun kukus dengan brokoli, gado-gado, kuah kacang, buah-buahan dan air jus. 

    "Saiz hidangan juga bukanlah besar iaitu 160 gram sahaja untuk seorang. Tular kononnya hidangan mewah berharga ribuan ringgit itu tidak betul. Sepatutnya pihak terbabit mendapatkan penjelasan daripada kami dan bukannya membuat fitnah di laman sosial," katanya. 



    from The Reporter https://ift.tt/2zRYdby
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment