loading...
  • Breaking News

    Sunday, July 22, 2018

    'Jatuh bangun saya, isteri tetap di sisi, tetapi it semua sudah tidak bermakna'


    Awal perkahwinan mereka, segalanya serba serbi cukup. Ditambah pula dengan kehadiran ahli keluarga yang ketiga, pasangan suami isteri ini perlu berusaha bersama menyara keluarga. Tetapi, ada halangan yang mendatang menyebabkan si isteri terpaksa berhenti kerja dan menjaga anaknya. 

    Si suami pula perlu mencari ikhtiar menjana pendapatan keluarga. Dalam ketika itu, isterinya juga banyak memberi sokongan dan membantu meningkatkan pendapatan. Semuanya demi survival keluarga kecil ini. 

    Namun, segala-galanya hanya tinggal kenangan. Perempuan yang cuba mendampingi si suami lebih banyak mengikis daripada menggantikan tempat isterinya. Kini, dia rindukan saat-saat kehidupan bersama isterinya dulu yang hanya tinggal kenangan. Hargailah pasangan anda selagi hayat masih ada.

    HI admin KRTB, boleh tolong siarkan kisah saya? Pertama sekali saya nak kongsi kisah throwback. Tahun 2006 saya kenal isteri saya dan waktu itu kami berumur 19 tahun dan bekerja di sebuah pasar raya di Likas, Sabah. Nama dia Wati. 

    Tidak berapa lama kemudian, Wati mengikut kakaknya berpindah ke Johor dan dari situlah kami terputus hubungan. 

    Tahun 2011, kami bertemu semula di sebuah majlsi perkahwinan sepupu saya dan dari situ juga kami bertukar nombor telefon serta Facebook yang seterusnya membuatkan kami kerap berbual di Facebook, akhirnya terjatuh cinta semula. 

    Kami bertunang dan berkahwin pada tahun 2013. Masa itu saya hanya ada motosikal, berpanas, berhujanlah kami berdua dengan kenderaan kecil itu. Selepas itu isteri saya bunting, saya berusaha untuk membeli sebuah kereta, kereta kecil terpakai saja, asalkan ada. 

    Kehidupan kami agak susah dan selalu tak cukup duit nak buat bayaran bulanan kereta. Sampai kami cadang untuk jual saja kereta itu dan kembali menggunakan motosikal. Lagipun pada masa itu, kami hanya bertiga sahaja. 

    Wati terpaksa berhenti kerja kerana dia perlu menjaga anak. Saya pula diberhentikan kerja pada masa itu. Menangis saya sebab tiada sumber pendapatan. Kami terpaksa jual kereta dan hasil dari jualan kereta, saya mula membeli barang mentah untuk berniaga soto. Murah-murah saja tetapi okaylah, cukup-cukup makan. 

    Rezeki anak walaupun kami serba kekurangan tapi sentiasa rasa cukup. ada juga jiran yang prihatin selalu bagi lauk, bagi baju untuk anak. 

    Perniagaan soto kami juga berkembang dan saya dapat beli kereta terpakai dengan bayaran yang berpatutan. Saya juga sewa rumah yang lebih bagus dan makan pakai kami juga serba cukup. 

    Namun, langit tidak selalunya cerah apabila perniagaan soto merosot dan jatuh terduduk kami dibuatnya. Kejatuhan kali ini bukan biasa-biasa tetapi dianiaya saudara sendiri. Kami terpaksa menjual kereta, berpindah ke rumah buruk, jual barang-barang, malah motosikal juga terpaksa dijual kerana hutang yang tidak disangka-sangka. 

    Jatuh bangun terduduk saya, isteri tetap ada di sisi yang tidak putus-putus memberi semangat. Isteri bantu buat kuih di subuh hari dan kemudian kami jual di tepi jalan. Kadang-kadang habis dan kadang-kadang tidak habis. Pendapatan sebulan RM200, adakalanya mencecah RM500. 

    Sekarang saya kembali berniaga dan mampu buka restoran di Putatan. Tetapi itu semua sudah tidak lagi bermakna. Saya rindu dengan detik-detik kehidupan yang lalu. Sekarang saya ada berkawan dengan beberapa orang perempuan juga, tetapi kebanyakannya tidak kekal. Sikit-sikit merajuk nak minta belikan handphone, make up, bukannya seperti isteri saya yang bersederhana. 

    Tahun 2017, isteri saya meninggal dunia disebabkan kanser yang dihidapinya. Saya sangat merindui isteri saya. Kalaulah saya dapat putarkan balik masa, saya akan berdoa bersungguh-sungguh untuk tuhan berikan separuh hayat yang saya ada kepada isteri saya.  

    Apalah gunanya semua kejayaan yang saya ada sekarang ini tanpa kehadiran insan yang sepatutnya menikmati semua ini? Cintai dan hargailah pasangan kita selagi hayat masih ada. Bila sudah tiada, pedih rasa menanggung rindu itu. 

    Kini chat saya sudah tidak dibalas, dijawab. Hanya tinggal video sahaja untuk mengubati rasa rindu dan mendengar suaranya. Kalau saya tahu waktu kita bersama hanya untuk seketika sahaja, tidak akan pernah berhenti saya potretkan gambar dirinya, tidak akan pernah saya berhenti merakam videonya. 

    Saya rindu... rindu yang tidak tertanggung.



    from The Reporter https://ift.tt/2myckt5
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment