Sebuah syarikat di China kini sedang disiasat pihak berkuasa selepas didakwa memaksa sejumlah kakitangannya menghukum diri sendiri berulang kali.
Video insiden itu tersebar di media sosial, menunjukkan sekumpulan kakitangan lelaki dan wanita melutut di lantai sambil menyebut slogan syarikat dan menghukum diri sendiri mengikut cara masing-masing.
Tetapi syarikat berkenaan tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan video tersebut dirakam semasa kakitangan mereka sedang menjalani sesi latihan yang dianggap dapat membantu meningkatkan motivasi kakitangan jualan. Syarikat berkenaan juga menjelaskan, pihaknya langsung tidak memaksa kakitangannya berbuat demikian. Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh kakitangan mereka itu adalah secara sukarela.
Dalam video berdurasi 33 saat itu berlaku di Dongguan, selatan China itu menunjukkan sekumpulan kakitangan memakai baju t-shirt hitam berdiri di hadapan pelatih. Salah seorang daripadanya dilihat menampar mukanya sendiri berkali-kali, manakala yang lain pula memukul lantai dan menumbuk angin. Lelaki yang menampar mukanya sendiri kemudian bertindak lebih agresif dengan membuka baju, dilibas ke lantai berkali-kali bagaikan tiada hari esok.
Difahamkan, syarikat itu menjalankan perniagaan menjual perabot. Mereka juga berulang kali menegaskan pihaknya tidak pernah memaksa kakitangannya yang terlibat dalam latihan itu bertindak di luar batasan.
Salah seorang pegawai tingginya, Zhang Min berkata, latihan itu dianjurkan oleh agensi luar yang telah dilantik untuk melatih kakitangan mereka. Pihak berkuasa Dongguan mengambil maklum mengenai penularan video tersebut dan sedang menjalankan siasatan.
Menurut undang-undang buruh di China, majikan tidak dibenarkan sama sekali mengaib dan menghukum pekerjanya. Lebih-lebih lagi, majikan perlu membayar wang pampasan yang munasabah sekiranya pekerjanya mengalami kecederaan.
Sumber: Daily Mail
from The Reporter https://ift.tt/3muEHVW
via IFTTT
No comments:
Post a Comment