Kes kematian bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi, kelmarin menimbulkan banyak reaksi netizen di media sosial. Selain meluahkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, tidak kurang juga ada segelintir netizen yang mula menuding jari terhadap ibu bapanya.
Lebih teruk lagi, golongan ini menyalahkan ibu bapanya yang tidak pandai memilih pengasuh yang baik, serta mendesak golongan ibu-ibu yang bekerja untuk berhenti serta-merta bagi menjaga anak sendiri.
Alangkah mudahnya berkata, memberi cadangan seperti itu seolah-olah beban kehidupan semua orang adalah sama. Di waktu ini, netizen sepatutnya mendoakan yang baik-baik, bukannya mengeruhkan lagi keadaan, apatah lagi mengecam pasangan berkenaan. Sudah pasti tiada ibu bapa yang boleh menjangka dan meminta perkara ini berlaku.
Dr Rusyainie Ramli juga meluahkan rasa kesal terhadap netizen yang melemparkan komen-komen yang tidak sepatutnya kepada ibu bayi berkenaan. Sedangkan ibu Adam Rayqal berkorban masa dan tenaga bertugas menjaga anak-anak pasangan lain di hospital.
DALAM pangkalan tempat saya kerja, isteri-isteri tentera yang tidak bekerja bantu doktor, staf paramedik dan misi-misi saya untuk menjadi pengasuh. Ni hubungan simbiosis komuniti kami. Bila anggota saya terpaksa dihantar ke tugasan luar, pandai-pandailah nak cari jalan nak uruskan anak-anak.
Macam saya pun sama. Ada masa saya pinjam ma abah untuk bantu saya. Ada juga terpaksa saya pontengkan anak-anak dari sekolah, mujur juga sekolah swasta, saya maklumkan sekolah melalui emel.
KERJA TAK MENENTU
Dah setahun saya menumpang simpati mak untuk menengok-nengokkan anak-anak. Mak dah masak sangat kerja saya yang tak menentu ni. Suami saya sering ke luar negara untuk bekerja, maka dia pun memang susah nak uruskan bab anak-anak. Mujur juga anak-anak dah bersekolah dan dah biasa berdikari. Semua sendiri. Saya tawaqal saja demi tugas pada tanahair.
Saya dulu ada pembantu rumah. Ma kata kerja macam saya baik ada. Betul ma kata. Tapi bukan semua orang mampu. Sakit hati dan pening kepala dengan karenah orang gaji jangan cakap la. Saya dah melaluinya. Boleh trauma jiwa bila fikir balik.
Saya tak sampai hati sebenarnya nak menyusahkan ma atau mak masa anak-anak masih kecil. Mereka dah melalui zaman mendidik anak-anak dan sekarang adalah masa untuk mereka berehat dan menikmati zaman senja mereka serta beribadat pada Allah SWT. Mereka pun ada kehidupan sosial sendiri.
Nak minta tolong adik beradik? Kalau dah macam saya, adik beradik semua berjawatan tinggi dan punya kehidupan yang jauh lebih baik dari saya, dah macam mana kan pula. Tak semua orang ada banyak pilihan bab nak cari bntuan jaga anak-anak.
Menggunakan khidmat pengasuh adalah opsyen yang ada untuk mak-mak yang bekerja. Mulut longkang jenis puaka tak berinsurans tu senang la suruh mak yang konon bermata duitan ni berhenti kerja dan menjaga anak sendiri.
MUDAHNYA NETIZEN SALAHKAN IBU ADAM
Mak Adam Rayqal tu jururawat terlatih. Dia bekerja di hospital tersibuk, terbaik dan terbesar di negara kita ni. Dia bertugas di unit rawatan rapi bayi. Bayangkan, dia berpenat lelah mencurah bakti pada anak-anak mak ayah orang lain. Seluruh jiwa raga dia di situ.
Bila Adam Rayqal diperlakukan sebegini rupa, mudah sungguh jari menuding pada misi tu. Bayi sekecil itu bukannya senang untuk dicari pengasuh. Sudahlah begitu, jururawat kan bertugas ikut shif. Bukan ikut waktu pejabat, lantas nak dapatkan pengasuh yang sanggup pun memang sukar.
WUJUDKAN TASKA 24 JAM UNTUK STAFF PERUBATAN
Sudah sampai masanya, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mewajibkan semua majikan mengadakan pusat asuhan bayi dan kanak-kanak. Kalau kat hospital, mesti diwujudkan taska yang beroperasi 24 jam, sebab staf semua bekerja ikut shif. Inilah penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah yang kita hadapi sekarang.
Staf kat hospital ni menyediakan servis untuk masyarakat kita. Ni fardhu kifayah. Pengorbanan mereka terlalu besar dan tersangat penting. Bayangkan kalau semua jururawat, doktor, kakitangan sokongan di hospital yang wanita berhenti kerja setelah mempunyai keluarga, pincanglah sistem kesihatan di negara kita.
Ini bukan masa untuk menuduh dan meletak batu kesalahan pada sesiapa. Sekarang adalah masa untuk kita mencari penyelesaian. Jalannya sudah nampak. Pelaksanaannya mesti dilakukan segera sebelum lebih banyak tragedi yang mengerikan melanda dek kurangnya keprihatinan di peringkat atasan pada keperluan staf bawahan dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk kepentingan masyarakat.
Sumber: Dr Rusyainie Ramli
from The Reporter https://ift.tt/2IREfgk
via IFTTT
No comments:
Post a Comment