Setiap ibu bapa ingin memberikan yang terbaik buat anak-anak. Namun, faktor kekangan masa dan juga kerjaya mengehadkan komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak. Kos hidup yang semakin tinggi juga memerlukan si ibu atau isteri mencari peluang pekerjaan bagi menampung bebanan suami.
Tetapi, bagi seorang anak apa yang diperlukan oleh mereka adalah perhatian, ruang dan peluang untuk mereka meluahkan perasaan mereka. Setelah seharian berada di sekolah atau di rumah pengasuh, sudah pastinya mereka ingin bercerita tentang perkara yang berlaku kepada mereka pada hari tersebut.
Andy Sulaiman berkongsikan melalui Facebook mengenai pengorbanan seorang anak. Jika sebelum ini kita hanya memikirkan tentang jasa dan pengorbanan kita sebagai ibu bapa, seharusnya juga kita harus memikirkan tentang pengorbanan yang dilakukan oleh anak-anak kita. Perkongsiannya juga turut diselitkan dengan cerita sepasang suami isteri yang baru pulang dari kerja berinteraksi dengan anak-anak mereka.
PERNAH satu malam tu, ada sebuah keluarga datang makan di Brojak. Sepasang suami isteri bersama dua anak. Si suami masih lagi memakai pakaian kerja, jelas nampak nama tempat kerja di bajunya, kasut pun memang kasut kerja.
Si isteri pula memakai seragam jururawat. Muka keduanya nampak keletihan. Anak-anak pula, memakai baju tidur, berpimpin tangan dengan ibu mereka. Duduk lah mereka di satu sudut.
Terdengar si ibu bertanya macam mana keadaan anaknya di sekolah. Dijawab oleh anak mereka dengan setenangnya. Selepas itu, bagaimana pula di rumah mak cik apa entah, aku nampak anaknya hanya menggelengkan kepala.
Mungkin soalan "Ada nakal tak rumah makcik (pengasuh)?" Macam tu lah kot aku agak.
Mereka memesan makanan. Hanya lah set A, RM67. Cukup lah, yang dewasa hanya sepasang suami isteri itu. Dua lagi kanak-kanak, tidak banyak makannya. Pesanan itu disiapkan. Malangnya, sebelum sempat dimakan, anak mereka tertidur di meja makan. Si ibu kejutkan namun tidak dihiraukan.
Si ayah juga cuba kejutkan untuk suapkan makanan, si anak hanya mencelik mata seketika namun kepala kembali diletakkan di tepi meja, beralaskan lengan.
Aku perhati sahaja dan terlintas satu perkara. Selama ini kita hanya berbicara tentang pengorbanan kita. Kita hanya dahulukan apa yang kita lakukan seharian atas tiket demi anak-anak.
Ya, tiada salahnya. Benar dan sebenar-benarnya. Tak salah langsung. Apa yang kita kerjakan hari ini semua demi membesarkan mereka. Cuma, adakala kita terlepas masa untuk mengenang pengorbanan anak.
Rata-rata mereka ini sebelum kita keluar ke tempat kerja, mereka sudah berada di sekolah. Ini biasa. Kita dahulu juga macam tu.
Ada antara mereka habis sekolah, terpaksa menumpang di rumah pengasuh. Biarpun di dalam hati begitu teringin untuk pulang ke rumah. Tapi, apa boleh buat, ibu dan ayah bekerja dan mencari rezeki untuk mereka juga.
Tiada salah situasi di atas. Keadaannya begitu. Tiada yang menganiaya dan tiada yang teraniaya. Tiada pemangsa dan juga tiada mangsa.
Tetapi, timbul kekesalan juga di hati, bila aku fikir anak-anak seharian tak memandang wajah kita dan menanti kepulangan kita.
Begitu banyak cerita seharian yang mereka pendam. Berbagai cerita gembira yang mereka ingin raikan. Beberapa cerita sedih yang mereka mahu luahkan.
Segalanya dipendam, ditahan sehingga pulangnya kita di rumah. Namun kadangkala apa yang berlaku? Kita kepenatan. Masuk ke rumah, disambut anak-anak yang teruja, lalu mereka terus membuka cerita.
Kita hanya mendengar tanpa rasa. Datang lagi seorang, juga ingin bercerita. Kita dengar juga dua cerita dalam satu masa. Sehingga, sampai satu tahap, kesabaran hilang. Kita lantas hentikan segala penceritaan anak-anak dengan alasan kepenatan dan tunggu malam nanti baru ceritakan.
Anak-anak akur, mereka diam. Kita ke bilik, rebahkan badan dan, terlena. Sedar dari tidur kita bersihkan diri dan lakukan apa yang sepatutnya. Anak-anak sudah tidur. Cerita mereka tidak kesampaian, kegembiraan mereka tidak diraikan dan luahan mereka tidak dapat diselesaikan.
Dan kita tidak rasa apa-apa. Mereka tidur ikut waktu yang ditetapkan, ok lah tu kan. Itu sahaja dari kita.
Carilah masa, raikan mereka. Kita lakukan pengorbanan demi mereka, mereka juga korbankan rasa ingin bermesra dan bermanja dengan kita. Walau tidak kaya, tapi aku kaya masa dengan keluarga.
Sumber: Andy Sulaiman
from The Reporter https://ift.tt/2MLhnkX
via IFTTT
No comments:
Post a Comment