Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 terhadap seorang janda dan teman lelakinya kerana berkhalwat.
Janda berusia 22 tahun yang tidak bekerja serta pasangannya, duda berusia 34 tahun itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan (tambahan) jika gagal membayar denda yang dikenakan.
Hakim Syarie, Mohd Fakhruddin Yusof membuat keputusan itu setelah pasangan berkenaan mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.
Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu berkhalwat di sebuah bilik tidak bernombor di Permint Bandar Baru Kerteh, jam 1.10 pagi, 13 Februari dua tahun lalu.
Difahamkan, sekumpulan penguat kuasa Syariah Kemaman melaksanakan pemeriksaan berwaran di lokasi setelah mendapat maklumat. Pintu diketuk dan salam juga diberi beberapa kali sebelum mendapati pintu tidak berkunci.
Pemeriksaan mendapati, seorang lelaki dan perempuan berada di dalam bilik dan ketika disoal siasat, pasangan itu mengaku bukan suami isteri atau mahram.
Wanita itu juga sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan yang sama iaitu kali pertama pada tahun 2017 dan kali kedua, 2018 di mana wanita itu tidak hadir ke mahkamah dan bertindak melarikan diri.
Kesalahan kali ketiga pula dilakukan ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sepatutnya kamu semakin takut, lagi-lagi untuk melakukan maksiat dalam tempoh sebegini (PKP). Kamu ada anak, sepatutnya jagalah anak dan tunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka.
"Saya berharap dengan hukuman dibuat ini menjadikan masyarakat gerun dan takut untuk mendekati maksiat yang mendatangkan bala kepada seluruh ummah," kata Hakim Mohd Fakhruddin.
Sumber: Sinar Harian
from The Reporter https://ift.tt/2XaKw0l
via IFTTT
No comments:
Post a Comment