loading...
  • Breaking News

    Thursday, December 17, 2020

    Belum Sedarkan Diri, Ibu Belum Tahu Tiga Anaknya Sudah Tiada

    IPOH - Wanita yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Gunung Lang, di sini pada Rabu belum mengetahui ketiga-tiga anaknya telah meninggal dunia.

    Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, yang kritikal dalam kejadian itu masih belum sedarkan diri selepas menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

    Mangsa dilaporkan mengalami pendarahan dalaman akibat tersepit selepas kereta jenis Perodua Axia dinaiki bersama tiga anak lelakinya itu hilang kawalan dan merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berada di lorong kecemasan.

    Abang mangsa, Muhd Jazli Aiman, 31, berkata, Nur Aimi telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pagi tadi dan keadaan kesihatannya semakin stabil.

    "Kami masih belum berkesempatan jumpa adik di ICU, namun doktor yang merawatnya ada memaklumkan keadaannya semakin baik," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HRPB di sini hari ini.

    Menurutnya, Nur Aimi yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang tinggal berasingan dengan suaminya kerana tuntutan kerja.

    "Ketika kejadian, dia dan tiga anaknya dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang selepas menghabiskan masa bercuti di kampung kami di Melaka," katanya.

    Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, tiga anak lelaki Nur Aimi, Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7, Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy berusia setahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

    Muhd Jazli berkata, mayat ketiga-tiga anak saudaranya itu akan dibawa ke kampung mereka di Sungai Putat, Melaka untuk urusan pengebumian.

    "Bedah siasat akan dijalankan petang ini dan Insya -ALLAH pengebumian akan dilakukan malam ini," katanya.

    Sumber: Sinar Harian



    from Sehinggit Media News https://ift.tt/34nfJBn
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment