Seorang lelaki tidak menyangka isterinya tergamak membunuh ketiga-tiga anak mereka dengan kejam. Dia yang bekerja sebagai petani itu terpaksa menelan kenyataan pahit akan kehilangan tiga anaknya sekali gus, setelah pulang dari membuang undi.
Suspek, Marina Tafona'o, 30, mengelar leher kesemua mangsa yang pada ketika itu sedang tidur lena. Marina mengaku dia berbuat demikian kerana tidak tahan hidup dalam kesempitan.
Suaminya, Nofedi Lagahu, tidak menyangkal alasan yang diberikan Marina dan mengesahkan kehidupan mereka sekeluarga sememangnya susah akibat tekanan ekonomi. Kesusahan itu membuatkan dia hanya mampu memberi keluarganya makan sekali dalam waktu tiga hari. Jika mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan, Nofedi akan memberi sebuah pisang kepada anak-anaknya sebagai alas perut.
"Anak-anak biasanya diberi pisang atau minum air kalau tiada beras," katanya.
Difahamkan, Nofedi bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan 200,000 rupiah (RM57.56) seminggu. Hasil pendapatan itu digunakan untuk membeli barang keperluan rumah bersama isteri dan empat anaknya.
Namun akibat desakan ekonomi kali ini, Nofedi kerap bertengkar dengan Marina sehingga kemuncaknya pada Rabu, 9 Disember 2020, Marina bertindak membunuh anak-anaknya yang masih kecil dengan cara kejam.
Di kediaman mereka di Dusun II, Desa Banua, Daerah Nias Utara, Indonesia, Marina mengelar leher mangsa sehingga maut. Salah seorang anaknya iaitu anak sulung, terselamat kerana mengikut bapanya pergi ke tempat pembuangan undi.
Sebelum kejadian, Nofedi bersama ibu bapanya serta anak sulung mereka keluar pada jam 9 pagi untuk pergi ke tempat pembuangan undi. Sebelum bertolak, mereka sempat mengucapkan selamat tinggal kepada Marina dan tiga beradik berkenaan.
Jam 12 tengah hari setelah selesai membuang undi, datuk, nenek dan cucu perempuannya pulang ke rumah mendapati pintu depan rumah tidak berkunci. Saat pintu rumah dibuka, alangkah terkejutnya apabila mereka melihat tiga beradik berkenaan dalam keadaan tidak bernyawa dan mengalami luka di bahagian leher.
Marina pada waktu itu berada di tepi mangsa dalam posisi terlentang dan memegang sebilah parang yang digunakan untuk mengelar leher anak-anaknya.
Takut melihat semua itu, anak sulung segera menghubungi bapanya, Nofedi yang tidak jauh dari kediaman mereka. Sebaik tiba di rumahm, Nofedi terus masuk ke bilik dan melihat tiga mayat anaknya.
Satu jam kemudian, polis tiba di lokasi selepas mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut. Ketua Polis Nias, Yasden berkata, suspek dipercayai telah mengelar leher anak-anaknya menggunakan parang sehingga hampir putus.
Marina juga dikatakan cuba membunuh diri ketika ditahan dengan cara mengelar lehernya sendiri. Tetapi penduduk yang menyedari niatnya itu segera menghalangnya berbuat demikian. Kes masih dalam siasatan.
Sumber: Agensi
from The Reporter https://ift.tt/3gIWjvN
via IFTTT
No comments:
Post a Comment