Demi meraih perhatian netizen di media sosial, seorang lelaki tergamak membuat konten palsu di akaun Tik Tok, seperti yang berlaku di Indonesia. Lelaki bernama Rachmad Arief meluahkan perasaan sedihnya dalam video tersebut kononnya wanita yang dicurahkan kasih sayang dan cinta selama ini, memilih untuk berkahwin dengan lelaki lain.
"Terima kasih untuk tempoh lima tahun. Saya tumpang bahagia melihat orang yang dicintai itu bahagia walaupun bukan dengan saya. Lima tahun kita bersama, selalu temankan saya melakukan aktiviti seharian, selalu membuatkan saya tenang bila bersama awak.
"Awak lulus pengajian, saya tumpang gembira. Saya sayang sangat pada awak. Tetapi takdir Tuhan telah menentukan. Orang yang saya sayang, bersama dengan jodohnya (yang lain). Tolong jaga orang yang saya sayang, bahagikan dia dan keluarganya," tulis Arief pada kapsyen video tersebut yang dimuat naik 8 Disember 2020.
Ketika dihubungi wartawan, Arief mengaku dirinya menjalinkan hubungan dengan wanita itu selama lima tahun dan baru sahaja memutuskan hubungan pada November 2020. Dia juga mengaku mereka berpisah kerana tiada restu dari orang tua.
"Saya tidak kenal lelaki itu. Mereka sudah berkenalan sejak dari awal tahun ini. Saya putus dengan dia pada November 2020. Tapi mereka tak curang, hanya kenal begitu sahaja," katanya pada Rabu, 9 Disember 2020.
Bagaimanapun, suami kepada wanita berkenaan tampil menafikan dakwaan Rachmad itu dan menuduh lelaki itu hanya merekayasa cerita tersebut untuk meraih perhatian netizen.
Tirta Dwi Saputra berkata, "Hello kawan-kawan, saya nak maklumkan kalau ada yang menonton video viral lelaki ditinggalkan kekasih selepas lima tahun bersama, itu semua adalah bohong. Ini kerana, wanita itu iaitu Miftahul Jannah, adalah sepupu dia.
"Dia membuat video dan cerita itu tanpa pengetahuan kami sekeluarga," tulisnya di media sosial.
Wartawan kemudian menghubungi Tirta untuk meminta penjelasan penuh mengenai kenyataannya di Twitter itu.
"Lelaki yang dalam video/gambar itu sebenarnya adalah sepupu kepada isteri saya. Video footage dan gambar-gambar itu memang diambil sebelum saya mengenali isteri dan ya, mereka memang rapat.
"Saya secara peribadi baru mengenali Arief ini pada hari majlis penikahan sahaja, di situ barulah kami bertemu buat pertama kali yang mana sebelum ini hanya tengok dia di media sosial," jelasnya.
Pada hari majlis itu, Tirta menjelaskan Arief ada memaklumkan kepada isterinya yang dia akan membuat konten Tik Tok dan meminta isterinya menunggu konten itu dimuat naik. Pada sangkaan Tirta, konten yang dimaksudkan mungkin sekadar video joget-joget sahaja. Tetapi sangkaan meleset, rupa-rupanya Arief memuat naik konten berunsur penipuan untuk meraih perhatian netizen.
"Pada awalnya saya tak peduli sangat sebab mungkin hanya untuk suka-suka sahaja. Tetapi jalan ceritanya tak betul, sampai kata mereka sudah menjalinkan hubungan selama lima tahun, hampir bernikah dan sempat pre-wedding.
"Disebabkan video itu, ramai netizen yang melemparkan komen-komen negatif terhadap saya dan isteri sehingga sampai ke pengetahuan pihak keluarga masing-masing. Ini sangat mengganggu," jelasnya.
Disebabkan itu, Tirta meminta Arief memperbetulkan semula keadaan kerana kasihan melihat isterinya menjadi mangsa sedangkan dia tidak tahu apa-apa.
"Saya masih okey, tetapi isteri saya dibuli di media sosial. Ramai yang berfikir bukan-bukan. Akhirnya saya minta Arief untuk membuang video itu dan membuat permohonan maaf," katanya. - Agensi
from The Reporter https://ift.tt/34jERc3
via IFTTT
No comments:
Post a Comment