Pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini di atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii Oktober lalu.
Syed membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin dan meminta untuk dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan, Syed didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap penuntut kolej berusia 22 tahun itu pada jam 4 pagi, 17 Oktober 2020 di Blok Empire City, Damansara Perdana.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebat jika didapati bersalah.
Prosiding kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Vitiya Monisha Paranthaman, manakala tertuduh diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.
Vitiya terdahulu tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan itu tidak boleh dijamin, selain bimbang tertuduh akan mengganggu mangsa. Namun, Vitiya menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 jika mahkamah membenarkannya dengan syarat tambahan.
Peguam Syed Amirul bagaimanapun meminta tertuduh dibenarkan diikat jamin meskipun kes itu tidak boleh dijamin dan berharap mahkamah mempunyai budi bicara untuk berbuat demikian.
Syed Amirul memberi jaminan anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana tertuduh memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.
Syed Amirul juga memohon mahkamah menetapkan jaminan yang minimum kerana pendapatan anak guamnya itu turut terjejas kerana pandemik Covid-19.
Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan dan tidak mengganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 21 Februari 2021 untuk tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/37OGH5Q
via IFTTT
No comments:
Post a Comment