loading...
  • Breaking News

    Saturday, December 12, 2020

    Pegawai Imigresen meraung selepas dihukum penjara 30 hari kerana terima suapan RM12,000 di KLIA


    Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara selama 30 hari dan denda RM20,000 setelah pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berusia 26 tahun mengaku bersalah di atas pertuduhan menerima suapan RM12,000. 


    Setelah hukuman dijatuhkan, Zalizi Ismail meraung ketika dipeluk oleh abang dan kakaknya. Tertuduh mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh pada Rabu, 9 Disember 2020.


    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang berpangkat sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Bahagian Operasi JIM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Disember didakwa melakukan kesalahan menerima suapan RM12,000 sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses dua tahanan JIM warganegara China untuk pulang ke negara asal. 


    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selain didakwa mengikut pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun keseksaan. 


    Sebelum itu, tertuduh memohon mahkamah meringankan denda dan hukuman terhadapnya kerana dia sudah insaf dan perlu menyara isteri dan anaknya yang berusia setahun. 


    Rozilah bagaimanapun menjelaskan, kesalahan rasuah merupakan kesalahan yang serius dan perlu dielakkan. 


    "Saya percaya bila kamu mengaku salah, kamu sudah fikir masak-masak. Kamu tahu selepas pengakuan kamu ini, kamu akan diberhentikan kerja. Memang susah hendak mengaku salah, saya doakan hukuman kamu di dunia hari ini cukup sebagai kifarah kamu di akhirat kelak," katanya. 


    Sumber: Astro Awani



    from The Reporter https://ift.tt/37cxXqZ
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment