DENPASAR, INDONESIA - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan polis kerana disyaki membunuh teman wanitanya yang juga remaja berusia 16 tahun.
Siasatan awal polis mendapati, suspek, I Kadek Juniarta membunuh mangsa yang dikenalinya sejak Jun 2022 kerana tidak mahu bertanggungjawab di atas kehamilannya setelah diminta untuk berbuat demikian.
Ketua Polis Denpasar, Bambang Yugo Pamungkas berkata, kejadian itu berlaku di rumah suspek kira-kira jam 2.30 petang Selasa, 7 Februari lalu.
"Motif pembunuhan, suspek kesal dan marah kerana mangsa terus meminta dia bertanggungjawab dengan berkahwin dengannya," katanya.
Bambang berkata, sebelum kejadian itu berlaku, mangsa datang ke rumah suspek sekitar jam 1 petang. Suspek kemudian mengajak mangsa masuk ke dalam bilik untuk melakukan hubungan badan.
Selepas selesai, mangsa meminta suspek bertanggungjawab di atas kehamilannya yang berusia tiga bulan atau dia sendiri yang akan memberitahu perkara itu kepada ibu bapa suspek.
Bengang mendengar kata-kata itu, suspek meminta mangsa pulang. Ketika mahu melangkah keluar dari rumah, leher mangsa dijerut dari belakang menggunakan selendang dan dicekik sehingga putus nyawa.
Tiga jam kemudian, kakak suspek pulang ke rumah dan terkejut apabila ternampak mangsa yang terlentang di dalam rumah, lalu segera menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan. Polis yang datang ke lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Ekoran kejadian itu, suspek telah ditahan dan mengaku membunuh teman wanitanya itu kerana tidak tahan dengan mangsa yang selalu meminta dia untuk bertanggungjawab di atas kehamilannya.
"Tiga kali dia paksa saya berkahwin dengannya sejak dia lewat datang bulan. Setiap kali kami berjumpa, dia asyik mengulangi permintaan yang sama.
"Saya beri alasan belum dapat berbuat demikian kerana tidak mahu membebankan orang tua. Saya minta maaf kepada orang tua saya dan orang tua dia di atas apa yang telah berlaku," katanya.
Sumber: Kompas, Bali Post
from The Reporter https://ift.tt/DdwUuHi
via IFTTT
No comments:
Post a Comment