Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim menggesa permainan lato-lato yang semakin popular pada ketika ini diharamkan penjualannya di pasaran kerana ia mengundang bahaya kepada kanak-kanak.
Menurut beliau, permainan berbahaya itu menarik minat kanak-kanak berusia bawah 12 tahun untuk bermain lato-lato, sedangkan mainan itu tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana tiada signifikan dan manfaat, serta berbahaya.
"Permainan itu sudah dibawa sampai ke sekolah dan kita bimbang boleh mencederakan mereka. Jadi lebih baik kita mencegah dari awal sebelum ada kes berlaku biarpun setakat ini belum ada laporan sesiapa yang tercedera kerana mainan baru itu," katanya.
Namun, pandangan berbeza pula bagi peniaga lato-lato, Sam Ariffin, 52, di mana lato-lato tidak berbahaya sekiranya dimain mengikut cara yang betul, berhati-hati dan tidak gopoh, selain perlu dipantau oleh ibu bapa.
"Cara permainan untuk kanak-kanak perlu lebih ditekan dengan memendekkan tali dan kunci atau simpulkan bahagian atas supaya dapat elak tali itu terlilit di leher atau bola terpelanting hingga boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain.
"Sebagai peniaga, saya akan beritahu cara bermain dengan betul dan tip seperti itu supaya mainan itu lebih selamat. Selain itu ibu bapa juga perlu pantau cara anak bermain," katanya.
Sam baru sahaja menjual permaian itu sejak beberapa minggu lalu dan mendapat banyak sambutan. Tetapi jualannya merosot ekoran timbul kebimbangan golongan ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka.
Kanak-kanak cedera akibat bermain lato-lato |
Bagi ibu tiga anak, Nurazrien Ayra Ramli, 34, pula berpendapat permainan itu tidak berfaedah dan boleh mengundang kecederaan jika bermain beramai-ramai dalam jarak dekat.
"Walaupun tak pernah main dan tidak ada kes cedera kerana mainan itu, tetapi saya tengok cara permainannya sudah boleh tahu ia bahaya. Malah, bunyinya turut menjengkelkan," katanya.
Mengambil langkah yang sama, Fatin Izzati Amir, 32, yang bekerja sebagai kakitangan awam tidak memberi anaknya berusia lima tahun untuk bermain permainan itu walaupun kerap meminta untuk dibelikan.
Katanya, permainan lato-lato lebih sesuai dimainkan oleh golongan remaja, tetapi bukan kanak-kanak.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/0Ba5dcn
via IFTTT
No comments:
Post a Comment