loading...
  • Breaking News

    Monday, February 27, 2023

    'Saya minta ubat paling bagus untuk rawat luka Bella' - Siti Bainun nafi sembunyikan kecederaan Bella



    Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali pada Isnin mengaku telah meminta 'ubat' paling bagus di farmasi untuk merawat kecederaan lecur pada tangan remaja perempuan sindrom Down di bawah jagaannya yang dikenali sebagai Bella.


    Siti Bainun, 31, berkata, dia bertanyakan mengenai ubat itu kepada seorang ahli farmasi melalui perbualan aplikasi WhatsApp dan memaklumkan kepada individu tersebut mengenai tangan Bella yang melecur teruk.


    Siti Bainun berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Shakira Aliana Alias pada perbicaraan bela diri wanita itu yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini.


    Bagaimanapun, Siti Bainun tidak bersetuju dengan cadangan Shakira Aliana bahawa Bella hanya dirawat di rumah dan dia ke farmasi kerana mahu menyembunyikan luka remaja perempuan itu.


    Shakira Aliana: Kamu tahu Bella luka teruk dan perlu dibawa ke klinik, tetapi kamu tidak buat kerana kamu takut perbuatan kamu terhadap Bella terbongkar?


    Siti Bainun: Tidak setuju.


    Tertuduh juga menafikan bahawa Bella dijaga bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood (saksi pendakwaan kelima) semasa remaja itu cedera.


    Siti Bainun tidak bersetuju dengan cadangan pendakwaan dia tidak bersungguh-sungguh merawat Bella dan melepaskan tanggungjawab itu kepada Yasmin.


    Pada prosiding sebelum ini, Yasmin memberitahu mahkamah, Siti Bainun mengarahkannya menyapu ubat pada luka Bella dan ubat itu dibeli sendiri oleh tertuduh.


    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.


    Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


    Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.


    Sumber: Bernama



    from The Reporter https://ift.tt/BytPQNL
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment