loading...
  • Breaking News

    Wednesday, February 15, 2023

    Wanita dakwa tak dibenarkan masuk ke hospital untuk dapatkan rawatan kerana berseluar pendek



    Dua minggu lalu, seorang wanita mendakwa dia dihalang dari memasuki balai polis hanya kerana memakai seluar pendek. Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani juga mengeluarkan kenyataan bahawa etika pakaian orang awam yang mahu masuk ke balai boleh diabaikan sekiranya ia melibatkan kes kecemasan. 


    Dalam satu kes terbaru, seorang lagi wanita juga menghadapi situasi sama di mana dia dihalang dari memasuki Jabatan Kecemasan Hospital Kampar kerana memakai seluar pendek. 


    Menurut Damien Chan yang bercakap kepada media Nanyang Siang Pao berkata, insiden itu berlaku pada awal pagi 13 Februari lalu. Dia bersama dengan rakannya ketika itu sedang bermain badminton dan wanita terbabit yang merupakan kekasih rakannya tiba-tiba mengadu sakit perut semasa menyaksikan mereka dari tepi gelanggang.


    Kesakitan yang dialami itu dikatakan sangat luar biasa menyebabkan gadis berusia 21 tahun berkenaan sukar untuk berjalan, lalu segera dikejarkan ke Hospital Kampar. 


    Bagaimanapun, selepas selesai berurusan di kaunter, pembantu perubatan yang bertugas berkata adalah tidak sopan untuk mangsa memakai seluar pendek dan perlu memakai seluar panjang sebelum dibenarkan masuk. 


    "Dalam keadaan terdesak itu, saya tiada pilihan dan terpaksa pulang ke hostel untuk mendapatkan seluar panjang untuknya. Dan kemudian barulah dia dibenarkan masuk ke bahagian kecemasan," katanya. 


    Kesal dengan apa yang berlaku, rakan Damien kemudian menuntut penjelasan dari kakitangan hospital mengapa teman wanitanya tidak dibenarkan masuk dengan memakai seluar pendek. Menurut kakitangan berkenaan, itu adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh hospital. 


    Apabila dia berulang kali mengasak kakitangan itu dengan pelbagai soalan, mereka berdua diminta keluar dari premis kerana tidak menjaga kelakuan. Tidak berpuas hati dengan insiden itu, mereka membuat aduan kepada pihak pengurusan hospital yang dihantar melalui emel. 


    Dalam pada itu, keadaan wanita berkenaan dilaporkan telah stabil. Berdasarkan pemeriksaan, doktor mengesyaki pesakit mengalami sengugut dan tekanan darah tinggi. Wanita berkenaan kemudian dibenarkan keluar pada jam 3 pagi. 


    Sementara itu, Kerajaan Negeri Perak akan menyiasat dakwaan tersebut yang kini sedang tular di media sosial. 


    Sumber: World of Buzz, Nanyang Siang Pao



    from The Reporter https://ift.tt/Nvm3LKy
    via IFTTT

    No comments:

    Post a Comment