Pelakon veteran, Rozie Othman, 60, ada menasihatkan cucunya, Syasya, 22, yang juga anggota kumpulan Dolla supaya tidak tampil dengan pakaian terlalu seksi hingga jadi perhatian ramai dan sering dikecam netizen.
Memetik laporan Harian Metro, Rozie berkata, sebagai nenek, dia sudah menjalankan tanggungjawab memberi nasihat, namun selebihnya terpulang kepada Syasya untuk menerimanya atau tidak.
"Mengenai pemakaian seksi Syasya itu saya tahu dan sudah cuba menasihatinya. Saya cakap pada dia (Syasya), seksi-seksi macam ni, nenek tak berkenan. Kurangkan, cuba ubahlah.
"Saya pun dulu pernah muda seperti dia, jadi fahamlah juga jiwa orang muda ini. Cuma, apa yang saya harap dia dapat terima nasihat diberikan itu.
"Saya doakan yang baik-baik untuk dia agar mendapat hidayah daripada Allah. Saya juga berharap dia akan terus berjaya di dalam karier seni diceburinya ini. Dia masih muda dan perjalanan juga jauh lagi," katanya.
Bercakap mengenai kerjaya lakonannya pula, Rozie berkata dia kini kembali aktif dalam lakonan selepas berehat selama lima tahun akibat masalah kesihatan iaitu jangkitan kuman pada paru-paru.
“Alhamdulillah, sekarang tahap kesihatan saya semakin pulih, sihat dan sudah boleh aktif berlakon semula. Jadi, bagi produksi yang ingin memberi tawaran lakonan, saya alu-alukan.
“Tapi, saya harap tawaran bayaran juga berpatutan dan jangan bersikap diskriminasi kepada pelakon lama kerana kami komited dengan tanggungjawab pada watak digalas. Kami berlakon kerana minat dan ia sudah sebati dengan jiwa,” katanya.
Terdahulu, Rozie pernah membintangi dengan beberapa drama terbaharunya di televisyen seperti Risik Pada Hati, Anak Beranak Abang Yie, Sut Putih dan Bara Cinta Ramadan.
Sumber: Harian Metro
from The Reporter https://ift.tt/eMjoZwY
via IFTTT
No comments:
Post a Comment